Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, bacaan IPU di bandar ini menunjukkan peningkatan iaitu 90 pada paras sederhana berbanding 79 malam tadi.
“Agak memeranjatkan kerana apabila jerebu sudah sampai di Kelantan. Ini menunjukkan keadaan bertambah serius dan hampir seluruh Malaysia dari selatan hingga utara termasuk pantai timur telah diselaputi jerebu.
“Walau bagaimanapun, bacaan IPU di negeri ini masih sederhana,” kata­nya pada majlis makan malam sempena Program Turun Padang ke JPS Negeri Kelantan di sini malam tadi.
Hamim berkata, masalah je­rebu dijangka berakhir menjelang musim peralihan monsun Oktober ini apabila keadaan cuaca negara dijangka lembap.
“Sekarang punca jerebu adalah dari Sumatera, Indonesia. Hujan boleh menghilangkan jerebu tetapi yang sukar adalah untuk mencegah kedata­ngan semula jerebu dari sumbernya.
“Kalau dari segi hukum alam, jerebu ini dijangka berhenti setelah berlaku monsun timur laut, jadi fenomena jerebu ini akan berterusan hingga hujung Oktober atau awal November dan mungkin lagi awal bergantung kepada pertukaran arah angin,” katanya.
Sementara itu di KUANTAN, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Pahang, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, sebanyak 100,000 penutup hidung dan mulut akan diagihkan ke semua sekolah di negeri ini berikutan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.
Penutup hidung dan mulut berkenaan merupakan sumbangan beberapa agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini antaranya Persatuan Farmasi Pahang dan Kuantan Specialist Hospital (KPJ Kuantan).
Menurutnya, sehingga kini sejumlah 30,000 penutup hidung dan mulut dikumpul yang disumbangkan KPJ Kuantan sebanyak 25,000 manakala selebihnya menerusi Persatuan Farmasi Pahang.
“Kita akan berusaha mengumpul 100,000 penutup hidung dan mulut untuk diedarkan ke seluruh sekolah di negeri ini bermula hari ini.
“Penggunaannya mampu menghindarkan pelajar daripada terdedah kepada persekitaran tidak sihat disebabkan jerebu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan penutup hidung dan mulut kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Lumpur di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengurus Besar KPJ Kuantan, Muhammad Badri Hussin dan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri, Wan Emril Nizam Wan Embong.
Di SEREMBAN, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Kalsom Khalid menasihatkan murid tidak menjadikan penutupan sekolah kerana jerebu sebagai peluang untuk melakukan aktiviti di luar, sebaliknya mereka hendaklah duduk di rumah sejajar dengan tujuan sekolah ditutup hari ini.
“Saya merayu kepada ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka duduk di rumah ketika je­rebu dan tidak membiarkan mereka berada di luar rumah atau melakukan aktiviti yang boleh mengundang bahaya kepada kesihatan,” katanya selepas menghadiri program Bicara Tokoh Bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Sekolah Menengah Sains Perem­puan dekat sini hari ini.
Di MELAKA pula, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Shafe’ee Yasin menjangkakan je­rebu mulai berkurangan mulai hari ini disebabkan beberapa faktor termasuk pengurangan titik panas di Sumatera, had laju angin dan hujan.
IPU yang dicatatkan antara pukul 6 pagi hingga 2 petang ini di dua kawasan iaitu di bandar raya Melaka dan Bukit Rambai menunjukkan pengurangan setiap jam.
“Titik panas yang semakin berkurangan di Sumatera antara Sabtu lalu hingga semalam dijangka mengurangkan jerebu mulai hari ini,” katanya ketika dihubungi.