Thursday, February 4, 2016

Bashah - Saya Lulusan Universiti UMNO



Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, meskipun kelayakan akademiknya hanya di peringkat sekolah menengah, namun universiti sebenar baginya adalah Umno.

Katanya, ketika ayahnya meninggal dunia beliaulah yang memikul tanggungjawab menyara adik beradiknya sehingga mereka semua menjejakkan kaki ke Menara gading, lapor Berita Harian.

“Universiti saya adalah Umno kerana parti ini yang mendidik dan mematangkan saya. Sebenarnya saya kehilangan bapa Md Hanipah S Alaudin pada usia 22 tahun dan sejak itu saya mengambil tanggungjawab sebagai bapa kepada seorang kakak dan tiga adik. Saya anak kedua dan anak sulung lelaki…

“Alhamdulillah semua adik saya mendapat pendidikan tinggi walaupun saya tidak menjejakkan kaki ke universiti. Tidak apa kerana bagi saya mereka lebih penting.

“Betul pendidikan saya tidak tinggi hanya peringkat menengah, tetapi saya berpengalaman dalam politik dan pentadbiran negeri untuk jangka masa yang panjang,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Bashah berkata, pada peringkat awal beliau diasuh bapa sendiri yang pernah menjawat jawatan penting dalam Umno.

Sebelum ini, akibat kelayakan akademik Bashah yang agak rendah, beliau telah dikritik hebat oleh orang ramai.

Bashah ketika ditanya adakah terkesan dengan serangan tersebut berkata beliau tidak rasa terhina dan terguris hati.

“Saya tidak terasa terhina kerana ia menunjukkan hanya itu sahaja modal yang ada pada mereka untuk menyerang saya. Tidak ada sedikit pun terguris kerana saya tahu diri saya.

“Saya tidak mendabik dada mengatakan saya pandai atau bijak, termasuk ada kelulusan tinggi sehingga semua mesti dengar cakap saya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Semalam panel Pemikir, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Lokman Noor Adam mempertahankan Bashah dengan menyangkal dakwaan bahawa beliau hanya mempunyai kelayakan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) sebaliknya adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang ramai supaya melihat Bashah dari sudut positif walaupun kelayakan pendidikannya agak rendah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.