Monday, April 25, 2016

LETAK JAWATAN SEBAIK-BAIK PILIHAN BAGI MB TERENGGANU

Tanpa diduga dan tidak juga muncul apa-apa tanda sebelumnya, tiba-tiba saja politik Terengganu bergelora dengan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dilaporkan bermasalah besar dengan pihak istana sehingga gelaran "Datuk Seri" beliau ditarik serta merta.

Apakah punca masalah itu semata-mata kerana sebaris ayat dalam ucapan Ahmad Razif yang menyentuh Yayasan Mizan yang dikatakan menyinggung Sultan Terengganu sehingga baginda menjadi murka atau sebenarnya ada sebab-sebab lain yang kita tidak ketahui?

Apa pun punca masalahnya, ketegangan itu sudah berlaku dan ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diselesaikan dalam sekelip mata.

Dalam hal ini apakah penyelesaian terbaik untuk mengelakkan hubungan kerajaan negeri dan UMNO dengan pihak istana terus bertambah buruk?

Meminta semua pihak bertenang atau Ahmad Razif sendiri berdiam diri serta mengelak daripada bersuara bukanlah cara yang betul untuk merungkaikan kekusutan yang berlaku itu.

Malah, lagi beliau berdiam diri dan mengelak bercakap dengan wartawan, lagi banyak spekulasi yang timbul.

Harus diakui bahawa jika Menteri Besar bermasalah dengan pihak istana sehingga ke tahap semua gelaran sudah ditarik balik, itu tandanya ia sudah terlalu serius dan amat menyinggung perasaan Sultan Terengganu.

Sebagai menghormati kedudukan Sultan dan demi kepentingan rakyat Terengganu, jalan terbaik ialah Ahmad Razif perlu berundur dan menulis surat perletakan jawatannya dengan seberapa segera.

Lupakanlah "cakap besarnya" sebelum ini bahawa beliau pantang dicabar dan darah yang mengalir dalam tubuhnya pula keturunan Bugis kerana jika ingin bertahan juga, bermakna yang dilawannya ialah Sultan  sendiri iaitu payung kepada seluruh rakyat Terengganu.

Gunalah sifir macam mana sekali pun, hakikatnya tiada guna  beliau bertahan dan tidak berguna juga untuk sesiapa mempertahankannya lagi di kerusi Menteri Besar itu. (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.