Friday, April 1, 2016
NGO Tanya Kastam: Apa Dah Jadi Dengan Duit GST
Kira-kira 30 peserta gabungan bantah GST hari ini hadir ke Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan membawa kain rentang tertulis "Apa jadi dengan duit GST?"
Bantahan yang bermula sekitar jam 10.30 pagi itu sempena setahun sistem cukai baru dilaksanakan dan diketuai aktivis PSM, S Arutchelvan.
Menurut Arutchelvan yang juga adalah jurucakap kumpulan bantah GST, kerajaan telah gagal mengawal, memantau dan menguatkuasakan apa yang dijanjikan sebelum pelaksanaan cukai tersebut.
Malah, Arutchelvan berkata pihaknya sejak awal sedia maklum bahawa cukai itu akan membebankan rakyat namun kerajaan tidak menghiraukan kebimbangan mereka.
Justeru, pihaknya telah membangkitkan 15 persoalan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia berkenaan pengurusan kutipan cukai GST.
Namun, Arutchelvan mendakwa pertemuannya dengan Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Abdul Ghani Othman jelas mengecewakan.
'Tidak bertanggungjawab sepenuhnya'
"Kami tanya soalan yang mudah saja dan tak susah mana pun tapi semua soalan itu pengarah Kastam tak boleh jawab.
"Tapi dia janji akan bawa persoalan kami kepada kementerian yang terbabit dan kami akan tunggu," kata Arutchelvan kepada pemberita di pintu masuk Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya.
Bagaimanapun, dalam reaksi balas Abdul Gani berkata dirinya tidak bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjawab berhubung segala persoalan yang diutarakan kumpulan tersebut.
"Saya hanya jaga Kuala Lumpur sahaja, bukan satu Malaysia. Ia tidak adil, orang yang berhak jawab perkara ini adalah orang atas lagi.
“Awak juga bertanyakan soalan yang salah. Kami akan hantar soalan itu kepada pihak kerajaan," kata Abdul Gani.
Sementara itu, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin berkata apa yang dicanang Jabatan Kastam berhubung GST adalah penipuan semata-mata.
'Menyusahkan rakyat'
Katanya, adalah jelas pelaksaan cukai GST telah menyusahkan rakyat.
"Semua yang dia cakap sebelum GST tipu semata-mata. Persoalaan bila dah laksana kutipan puluh bilion rakyat jadi semakin susah. Baik wartawan, polis atau Kastam kita merasakan bebannya," kata Badrulhisham.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata pertemuan dengan Jabatan Kastam telah gagal menjawab dalam soal mekanisme pelaksanaan cukai tersebut.
"Ramai tanya kenapa pergi ke Kastam tapi saya nak beritahu kalau pergi MOF (Kementerian Kewangan) pun kita akan dapat jawapan yang sama.
"Tapi yang berkempen adalah kastam. Dia yang cakap GST baik dan sebagainya tapi bila kita datang hari ini bertanyakan satu harga barang dan perkhidmatan yang berlaku penurunan harga dia tak boleh bagi jawapan.
"Yang dia gagal jawab hari ini adalah mekanisme perlaksaanan. Maknanya kerajaan lepas tangan," kata Badrulhisham.
Tahun lalu, seramai 79 orang ditahan ketika mengadakan protes membantah pelaksanaan sistem cukai GST di kompleks yang sama.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.