Friday, July 1, 2016

Jemput Ahli Parlimen Cina Masuk Masjid, Nazir Bakal Dipecat

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan seorang nazir Masjid Al-Muttaqin Selayang Pandang dipecat. ― Paparan skrin Google


KUALA LUMPUR, 1 Jul ― Sultan Selangor telah menitahkan agar nazir masjid di Selayang yang menjemput wakil rakyat bukan Islam masuk ke ruangan utama solat dipecat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bahawa masjid tidak sepatutnya digunakan untuk program yang bertujuan politik.

“Apa yang lebih mendukacitakan lagi ialah ahli poltik yang berkenaan bukannya beragama Islam.

“Ini secara terang-terangan telah menyalahgunakan institusi masjid untuk faedah ahli politik yang berkenaan.

“Beta memandang serius perkara ini dan menitahkan supaya pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk meneliti, menyiasat dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka yang terlibat dalam perkara ini.

“Jika perlu, perkhidmatan nazir yang berkenaan hendaklah ditamatkan dan ditukar kepada orang lain,” titahnya semasa majlis perasmian Masjid Kampung Johan Setia, Klang, semalam.

Pengarah Jais ketika dihubungi berkata, nazir berkenaan akan dipanggil hari ini untuk tindakan selanjutnya.

“[Hari ini] saya akan bincang [dengan nazir] mengikut prosedur yang terkandung dalam tatacara pemecatan,” kata Datuk Haris Kasim.

Nazir merupakan individu yang bertanggungjawab mengetuai pentadbiran dan pengurusan masjid, satu lantikan oleh majlis agama negeri.

Tindakan nazir Masjid Al-Muttaqin Selayang Pandang menjemput Ahli Parlimen Selayang berbangsa Cina dari PKR masuk ke ruangan solat Sabtu minggu lalu menimbulkan pertikaian.

Namun William Leong Jee Keen semalam berkata, kehadirannya ke majlis tadarus al-Quran dan sumbangan Aidilfitri anjuran kerajaan negeri adalah atas kapasitinya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

Beliau juga menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur politik, sebaliknya hanya mengucapkan “selamat berpuasa” dan “selamat berbuka”.

Garis Panduan Penggunaan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2010 tidak membenarkan orang bukan Islam memasuki ruang solat utama di semua masjid dan surau di negeri itu atau mengadakan apa-apa acara didalamnya.

Individu boleh didakwa dibawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

- malaymail

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.