Thursday, July 28, 2016

Salah guna wang Yapeim: Mahkamah batal saman fitnah Jamil Khir

Jamil Khir menyaman NOW kerana dituduh menggunakan dana Yapeim bermain golf dan lawatan ke pusat beli-belah di luar negara.
Akmal-Nasir_Jamil-Khir_600_2
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir untuk membatalkan saman fitnah difailkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu dalam kamarnya atas alasan saman yang difailkan Jamil Khir adalah atas kapasitinya sebagai menteri dan bukan peribadi.
Peguam Razlan Hadri Zulkefli yang mewakili Akmal memberitahu media bahawa Nor Bee memerintahkan Jamil Khir untuk membayar kos sebanyak RM3,000 kepada Akmal.
Razlan berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam saman fitnah oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob terhadap Utusan Melayu (M) Bhd yang memutuskan bahawa personaliti yang dikenali ramai yang memegang jawatan awam tidak boleh memfailkan saman fitnah atas kapasiti rasminya.
Peguam Adnan Seman yang mewakili Jamil Khir mengesahkan tentang keputusan mahkamah itu dan berkata akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan mengemukakan rayuan.
Pada 19 November 2015, Jamil memfailkan saman itu terhadap Akmal berhubung dakwaan penggunaan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) bagi membiayai perjalanan ke luar negara.
Beliau mendakwa Akmal memfitnahnya ketika memberi kenyataan kepada media dan di laman web menggunakan nama NOW pada 13 November 2015.
Jamil mendakwa di antara kata-kata fitnah itu adalah berkenaan pembiayaan perjalanan ke luar negara, bermain golf dan lawatan ke pusat beli-belah membabitkan kos di antara RM410,978 hingga RM590,000.
Menteri itu juga mendakwa Akmal menerbitkan kata-kata fitnah itu tanpa pengesahan terlebih dahulu hingga ia membawa maksud beliau seolah-olah tidak amanah, ahli politik yang menyeleweng dana anak yatim serta menyalah guna kuasa.
Beliau menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya, ganti rugi am, teruk serta permohonan maaf dalam cara dan bentuk yang diluluskan olehnya sendiri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.