Sunday, August 28, 2016

ADAKAH TUN RAZAK JUGA PENGKHIANAT KERANA BEKERJASAMA DENGAN PEMBANGKANG SELEPAS TRAGEDI 1969?

Image result for TUN RAZAK  SELEPAS TRAGEDI 1969?

Berikut ini adalah tulisan seorang "bangsa Kelantan" yang menetap di luar negara berdasarkan tontonannya secara live ucapan Tun Mahathir Mohamad di Ketereh pada 26 Ogos lalu.

Tulisan ini sudah banyak tersebar di media sosial serta grup Whatsapp dan dikongsikan di sini untuk kebaikan kita bersama, mudah-mudahan perubahan semakin dekat dengan hati kita. (SH 28/08/2016)


1. Malam tadi saya menonton lintas langsung program Bicara Rakyat di kampung saya, Ketereh. Kelantan. Program tersebut menampilkan Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

2. Saya bersengkang mata hingga jam 2:00 pagi waktu Hobart untuk menonton kesemua ucapan dimana Tun M menjadi penceramah terakhir.

3. Telah menjadi kebiasaan saya sejak dari kecil, saya cuba untuk tidak melepaskan peluang mendengar atau membaca ucapan Tun M, terutamanya dalam program-program politik.

4. Ini kerana ucapan beliau sarat dengan maklumat-maklumat dan fakta-fakta yang menarik.

5. Dalam ucapan malam tadi, beliau menyentuh tindakan pemimpin-pemimpin BN yang mengutuk beliau kerana bekerjasama dengan pembangkang.

6. Beliau menekankan bahawa di dalam politik, strategi amatlah penting. Menurut Tun M, selaku belas Pengerusi BN, rahsia BN menang di dalam pilihanraya ialah kerana mereka tidak bertanding melawan sesama sendiri.

7. Tun M menegaskan bahawa kita perlu ingat yang Tun Razak menubuhkan Barisan Nasional selepas tragedi 13 Mei dengan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang di waktu itu seperti Gerakan, PPP (People’s Progressive Party), SUPP dan juga PAS. Menurut Tun M, DAP pada masa itu juga dijemput untuk bersama, tetapi parti tersebut menolak.

8. Oleh itu, menurut Tun M, bukanlah sesuatu yang pelik sekiranya BERSATU bersedia bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain. Tun Razak bekerjasama dengan pembangkang pada waktu itu untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang kukuh.

9. Ini satu hujah yang amat menarik!

10. Jika kita imbas kembali, dalam Pilihanraya Umum 1969, Gerakan telah Berjaya menubuhkan kerajaan di Pulau Penang dengan merampasnya dari MCA. PPP pula hampir membentuk kerajaan di Perak (hanya kekurangan dua kerusi) manakala PAS pula membentuk kerajaan di Kelantan.

11.  Pada 1972, Gerakan dan PPP menyertai Parti Perikatan. Ianya kemudian diikuti oleh PAS. Akhirnya pada 1973, Barisan Nasional dibentuk. 

12. Oleh itu, jika pemimpin BN berkata tindakan BERSATU yang sedia bekerjasama dengan pembangkang adalah satu pengkhianatan kepada orang Melayu, bukankah ianya bermakna mereka berkata tindakan Allahyarham Tun Abdul Razak bergabung dengan pembangkang dalam membentuk BN juga satu pengkhianatan? Bayangkan jika DAP bersetuju untuk bersama BN ketika itu!

13. Bagi saya, ianya bukanlah satu pengkhianatan. Tetapi satu strategi politik yang ampuh untuk membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil selepas negara melalui tragedi 13 Mei.
.
14. Sama-samalah kita fikirkan!

Dr Radzi Jidin
Hobart
Australia
27 Ogos 2016
Untuk FB Bicara Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.