Monday, November 28, 2016

Perkara 10 Perlembagaan (Hak Berhimpun) Sedang Dicabar

Tangkapan Jufazli Dan Bersih 5: Cabaran Terhadap Perkara 10 Perlembagaan 

Tangkapan terhadap pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah, Jufazli Shi Ahmad dan yang terbaru 15 orang individu sempena perhimpunan aman BERSIH 5 hujung minggu yang lalu adalah satu lagi daripada siri tangkapan dalam dunia “demokrasi” Malaysia. 

Tangkapan terhadap Jufazli adalah dipercayai disebabkan oleh “posting” beliau yang dilihat terlalu kritikal terhadap kerajaan negeri BN Sabah. 


Jufazli disiasat di bawah tiga peruntukan undang-undang yang berbeza iaitu Seksyen 500 Kanun Keseksaan (‘Akta 574’), Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (‘Akta 588’) dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 (‘Akta 15’) di tiga balai/IPD yang berlainan di Sabah iaitu Tawau (2 kes), Kinabatangan dan Semporna. 

Seksyen 500 adalah berkenaan jenayah fitnah, Seksyen 233 menyentuh tentang penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain manakala Seksyen 4 pula jelas menyebut tentang kesalahan menghasut. Jufazli telah dibebaskan daripada reman polis sejak 9 November pada 15 November sementara menunggu pendakwaan (jika ada). 

Di sebelah sini pula iaitu di Semenanjung, berlaku juga siri tangkapan terhadap beberapa individu penting yang dikaitkan dengan perhimpunan BERSIH 5. Tangkapan-tangkapan tersebut bermula seawal sehari sebelum BERSIH 5 sehinggalah pada hari BERSIH 5 berlangsung yang kesemuanya difahamkan seramai 15 orang yang terdiri daripada Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah, Mandeep Singh, pemimpin-pemimpin politik pembangkang, aktivis mahasiswa dan juga aktivis-aktivis masyarakat dan NGO. 

Yang menghairankan adalah walaupun Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa BERSIH 5 adalah satu perhimpunan yang aman dan juga pihak polis adalah bertanggungjawab untuk mengawal-selia perhimpunan aman tersebut selaras dengan peruntukan Seksyen 18 Akta Perhimpunan Aman 2012 (‘Akta 736’), namun tangkapan-tangkapan tersebut masih dibuat? Lebih mengelirukan adalah walaupun polis dilihat ‘mesra’ dan ‘bertolak ansur’ dalam ‘memudahcarakan’ perhimpunan BERSIH 5 tetapi tangkapan dan penahanan masih juga dijalankan? Maka jelas di sana menunjukkan bahawa pihak polis langsung tidak konsisten dengan pendirian mereka berkenaan penganjuran perhimpunan aman tersebut! 

Adalah menjadi perkara yang paling mengecewakan pula apabila Menteri Pelajaran dan juga Ketua Setiausaha Negara yang dilaporkan media bertindak menghalang guru-guru serta penjawat awam daripada menyertai perhimpunan aman BERSIH 5 tersebut dengan ugutan pemecatan dan potongan gaji! Staf-staf dan ahli-ahli akademik serta mahasiswa-mahasiswi di IPT juga dihalang daripada menyertai BERSIH 5 oleh universiti masing-masing. 

Padahal Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sendiri telah jelas menekankan bahawa halangan tersebut terang-terangan melanggar peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Akta 736 di atas juga memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata! 

Sebahagian besar daripada mereka yang ditangkap kini telah pun dibebaskan sementara menunggu pertuduhan, jika ada, kecuali Maria Chin yang dipercayai masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (‘Akta 747’) atau SOSMA

Apa yang disebut di atas adalah sebenarnya satu bukti menunjukkan atau memberikan indikator atau signal kepada kita bahawa pada hakikatnya Perkara 10 Perlembagaan kini sedang dicabar dan dalam bahaya. 

Walaupun negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang mana hak untuk bersuara dan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perkara 10 tersebut merupakan antara nilai demokratik yang terpenting, namun tindakan pihak-pihak yang berkenaan dalam insiden-insiden di atas jelas menunjukkan bahawa sikap dan pendirian kita langsung tidak mencerminkan apa yang kita amalkan. 

Itu belum lagi dikira dengan politik intimidasi yang digunapakai melalui penggubalan dan penyalahgunaan akta-akta baru dan sedia ada yang jelas menyekat dan merampas hak rakyat tersebut antaranya seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 (‘Akta 88’), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (‘Akta 769’) atau POTA, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (‘Akta 297’) atau POCA dan yang terbaru Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (‘Akta 776’) yang juga cuba untuk merampas kuasa Yang diPertuan Agong! 

Pihak polis seharusnya mempertahankan sistem demokrasi dalam negara kita yang mana hak berhimpun dan bersuara itu merupakan antara prinsip tunjang kepada nilai demokratik bukan dengan cara menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia ini adalah negara polis! 

Selain memiliki akta-akta yang jelas mendatangkan reverse effect kepada Perkara 10 Perlembagaan, kita masih gagal menggubal akta baru atau meminda mana-mana akta sedia ada yang benar-benar memperkasakan maksud dan tujuan peruntukan perlembagaan tersebut. Akta Perhimpunan Aman 2012 tersebut adakah cukup untuk menjelaskan dan menekankan hak rakyat untuk berhimpun atau adakah sudah tiba masanya Parlimen menggubal akta seperti Akta Hak Terhadap Maklumat (“Right To Information Act”) 2005 sepertimana di India untuk lebih memberdayakan suara rakyat dalam proses semak dan imbang (“check and balace”) pentadbiran kerajaan? 

Selagi mana tidak wujud akta-akta atau undang-undang sedemikian, maka selama itu jugalah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan akan terus dipijak dan dicabar. -Wan Anwar Wan Ibrahim 



VIDEO BERKAITAN 


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.