Sunday, December 25, 2016

India mulakan pembinaan patung tertinggi di dunia

Patung Chhatrapati Shivaji setinggi 192m dijangka menelan belanja RM2.38 bilion dan dijangka siap 2019
Chhatrapati-Shivaji,NEW DELHI: Perdana Menteri India Narendra Modi semalam meletakkan batu asas untuk patung tertinggi di dunia, dengan unjuran kos jutaan dolar yang mengundang kecaman dan petisyen membantah pembinaannya.
Patung Chhatrapati Shivaji, seorang pemerintah Hindu kurun ke-17 yang menentang dinasti Mughal dan membina kerajaannya sendiri, akan dibina 2 kali ganda saiz Patung Liberty dan 5 kali ganda ketinggian Christ the Redeemer di Rio de Janeiro.
Struktur setinggi 192m itu, yang menjadi projek kesayangan Modi, seorang nasionalis Hindu, akan dibina di sebuah pulau yang terletak di luar pantai barat Mumbai di Laut Arab.
Apabila selesai nanti ia akan mengatasi ketinggian Spring Temple Buddha yang setinggi 128m di wilayah Henan, yang memegang rekod patung tertinggi di dunia ketika ini.
“Walaupun di tengah-tengah keadaan yang mencabar, Shivaji Maharaj tetap membawa obor tadbir urus yang yang baik,” kata Modi di upacara perasmian.
“Banyak aspek kepribadiannya memberi inspirasi kepada kita.”
Kerajaan negeri Maharashtra dijangka membelanjakan sejumlah AS$530 juta (RM2.38 bilion) untuk pembinaan itu, yang dijangka siap 2019.
Namun projek itu mengundang kecaman orang ramai yang mahu kerajaan memperuntukkan sumber untuk pembangunan, prasarana dan pendidikan.
Lebih 27,000 orang menandatangni petisyen atas talian di Change.org semalam mendesak kerajaan membatalkan rancangan itu.
“Selain membazirkan wang, patung itu juga menjejaskan alam sekitar; menjejaskan lalu lintas di Bombay Selatan dan akan menjadi mimpi ngeri untuk pihak keselamatan,” kata petisyen itu.
Ramai warga Maharashtra mengagungkan Shivaji. Stesen keretapi utama Mumbai dan lapangan terbangnya dinamakan sempena pemerintah itu, yang diangkat Modi menjadi salah satu simbol kebangkitan semula kebudayaan Hindu.
Rancangan untuk membina tugu peringatan itu menyusuli inisiatif setinggi 182m untuk memperingati wira kemerdekaan India, Sardar Vallabbhai Patel, oleh Modi di negeri asalnya, Gujarat. Ia dijangka menelan belanja AS$368 juta (RM1.65 bilion). Pembinaan mula dijalankan pada 2014. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.