Friday, January 27, 2017

ROHINGYA DAN KITA (SIRI 4): CONTOHI KERJASAMA PAS-UMNO

Sudut
DARI SUDUT LAIN
Walaupun iklim politik Malaysia semakin panas saban hari, namun tidak sepatutnya setiap langkah-langkah parti politik ini ditimbang dengan neraca untung rugi meraih kekuasaan sahaja. Kewujudan parti politik bukan semata-mata untuk mendapat kuasa, bahkan kuasa hanya medium untuk memperbaiki kehidupan ke arah yang lebih baik.
Justeru dalam isu Rohingya, semua parti politik sepatutnya mengenepikan dahulu persaingan merebut kuasa, terutama parti-parti yang dipimpin oleh orang Islam. Ini kerana konflik di Rakhine kini adalah melibatkan saudara sesama Islam, yang menjadi tanggungjawab setiap yang bernama muslim dari seluruh dunia. Lebih-lebih lagi negara kita, yang politiknya masih dikuasai oleh orang Islam. Juga kerana kita berkongsi rantau yang sama.
Kenapa parti politik yang perlu bertindak, bukan NGO atau badan lain? Ini kerana masalah Rohingya perlu diselesaikan melalui cara politik. Ia melibatkan polisi kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya. Ia juga soal penguatkuasaan undang-undang terhadap ekstremis Budhha yang membalun umat Islam. Juga berkenaan keselamatan serantau. NGO dan badan lain hanya boleh berperanan dalam bentuk kebajikan, kemanusiaan, kesedaran atau paling tinggi, menyuarakan perasaan. Untuk melakukan tekanan atau mengambil tindakan yang signifikan, perlu kepada penglibatan orang-orang politik.
Lihat bagaimana PAS memainkan peranannya. Bermula dengan menyedarkan ahli dan rakyat melalui ceramah dan demonstrasi, menghantar memorandum kepada kerajaan Myanmar, kemudian bersemuka dengan kerajaan BN membincangkan isu ini. Walaupun kedua parti ini adalah seteru tradisi zaman berzaman, tetapi langkah mengenepikan perbezaan politik dalam isu ini amat matang dan patut dipuji.
Lihat:
Hasil dari usaha ini, ia membawa kepada himpunan mega melibatkan Presiden PAS dan juga Presiden Umno, Najib Tun Razak. Selepas itu, satu lagi himpunan juga melibatkan Presiden PAS bersama wakil khas OIC, Tan Sri Syed Hamid Albar. Himpunan ini mendapat respon pelbagai di peringkat nasional dan antarabangsa, membuktikan keberkesanannya.
Lihat:
Kesinambungan dari kerjasama dua parti ini, Malaysia telah terkedepan dalam isu Rohingya berbanding negara Islam lain. Kerajaan Malaysia telah memanggil sidang tergempar menteri luar negara-negara OIC pada 19 Januari lepas semata-mata bagi membincangkan isu ini, walaupun Malaysia bukan pengerusi OIC. Sebelum itu kerajaan telah mengumumkan rombongan bantuan Food Flotilla for Arakan, dijadualkan Februari ini yang turut disertai PAS.
Lihat:
Malangnya, masih ada pihak yang mempertikaikan usaha ini, dengan hanya memandang melalui neraca politik yang sempit. Mereka anggap ini tidak lain hanya helah untuk PAS-UMNO bergabung. Tanpa mempeduli langsung nasib umat Islam di luar sana. Masih ada parti politik yang memainkan sentimen kepartian demi matlamat kuasa, sehingga membutakan pengikutnya terhadap isu sebenar iaitu Rohingya.
Lihat:
Sekiranya parti-parti politik lain seperti PKR, Pribumi dan PAN mengambil sikap sama sebagaimana PAS mendekati Umno, tentu badan-badan Islam lain di negara akan turut bersama. Ini akan membina sebuah desakan politik yang padu, sehingga digeruni di peringkat antarabangsa. Jika kerjasama PAS-Umno sahaja sudah membuatkan kerajaan Myanmar, Thailand dan negara-negara OIC bertindak, bagaimana agaknya yang akan berlaku jika kesemua instrument politik di negara ini digembleng bersama?
Langkah ini juga adalah peringkat awal kepada kesatuan muslim serantau, seterusnya kesatuan muslim sedunia. Sekiranya kekuatan politik umat Islam dapat disatukan di Malaysia lalu berjaya memainkan peranan yang signifikan, tentu akan membuka mata umat Islam lain di Indonesia, Thailand, Filipina untuk mencontohi langkah yang sama, mengenepikan perbezaan politik untuk isu umat yang lebih mendesak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.