Monday, May 1, 2017

AZMIN ALAMI SITUASI SAMA DENGAN NIZAR DI PERAK, ADAKAH INI 13 BULAN TERAKHIR BUAT PH PERINTAH SELANGOR?


(TV14) – PERKHABARAN terbaru yang kami terima dari negeri paling maju di Malaysia iaitu Selangor mendapati, Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan sudah mula panik dan resah berikutan perkembangan terbaru mengenai hubungan PAS dengan PKR.
Selepas Dewan Ulama PAS membuat kata sepakat bahawa PAS harus memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR di semua peringkat, maka kedudukan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Azmin dari PKR mula goyah dan tidak stabil.
Hasil daripada keputusan syura Ulama PAS ini, maka Kerajaan Negeri Selangor sekarang ini hanya memiliki 30 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala penentang pula bertambah kepada 26 kerusi DUN keseluruhannya.
Dalam sebuah sumber memberitahu, Azmin telah merancang suatu perjumpaan sulit melibatkan ke semua ADUN dari Pakatan Harapan untuk membentuk sebuah permuafakatan baharu.
Kata sumber berkenaan, ia perlu dilakukan Azmin bagi menjaga kedudukannya selaku Menteri Besar Selangor yang kini seperti ‘telur di hujung tanduk’ dan menunggu masa sahaja untuk ‘dikorbankan’ sama ada dari parti lawan, mahupun rakan sendiri.
Bertepatan dengan isu yang sama, menurut sebuah laman blog, Azmin berkemungkinan bakal membubarkan DUN Selangor, bergantung kepada hasil pertemuan itu nanti.
“Menteri Besar, Azmin Ali akan mengadakan pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat minggu depan bagi membincangkan cadangan pembubaran Dun Selangor kerana terputusnya hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat.
“Menurut Azmin, hasil perbincangan akan diumumkan kelak memandangkan secara teknikal, jika Pas betul-betul keluar daripada Pakatan Rakyat, Pakatan Rakyat bakal hilang kuasa kerana kerajaan Selangor tidak lagi mempunyai majoriti mudah di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Untuk rekod Nizar Jamaluddin Bekas Menteri Besar Perak dan kerajaan pakatan Perak hanya bertahan hampir 13 bulan selepas itu tumbang,” tulis penulis di laman blog tersebut.
Bak kata pepatah, ‘pokok tidak bergoyang jika tiada angin yang mengoncang’. Maka tidak mustahil Azmin sekarang ini sudah berada dalam kedudukan panik dan tidak tentu arah khususnya dalam menjaga kedudukan yang dimilikinya di peringkat kerajaan negeri.
Jika ikut sejarah yang pernah berlaku di Perak dahulu, situasi sebegini hanya mampu bertahan selama 13 bulan sebelum ia musnah dan pentadbiran negeri bertukar tangan.
Adakah 13 bulan akan datang Kerajaan Negeri Selangor akan bertukar tangan dan sekali gus bermakna ini adalah penggal terakhir buat Azmin selaku Menteri Besar Selangor?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.