Tuesday, May 30, 2017

HAMIDAH OSMAN MASUK PARTI EZAM?

Naib Presiden Bersatu, Hamidah Osman dipercayai akan meninggalkan parti itu dalam waktu terdekat ini untuk menyertai Parti Bebas Rasuah pimpinan Ezam Mohd Nor.
Hamidah yang kini bermasalah dengan Bersatu dan semalam didesak oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar meletakkan jawatan kerana didakwa menjadi dalang dalam isu perpecahan parti itu di peringkat negeri Perak, dikatakan tiada pilihan lain selain menyertai Parti Bebas Rasuah untuk meneruskan perjuangan politiknya.
Walaupun Hamidah didakwa sudah sekian lama memendam rasa dengan Bersatu atas beberapa perkara, cabaran Syed Saddiq semalam dikatakan menjadi antara punca beliau mempercepatkan tindakannya itu.
Sebelum ini, sudah terdapat rakan-rakannya yang mencadangkan beliau berbuat demikian, tetapi mereka mahu Hamidah meninggalkan Bersatu setelah Parti Bebas Rasuah diterima sebagai anggota baru Pakatan Harapan.
Namun, kini hasrat itu terpaksa dipercepatkan kerana terus kekal dalam Bersatu pun tidak bermakna apa-apa lagi baginya.
Hamidah dikatakan tidak akan akan memilih untuk kembali kepada UMNO kerana masih ingin bersama-sama dengan Tun Mahathir Mohamad dalam perjuangan menyingkirkan Najib Razak, UMNO dan BN.
Hamidah dipercayai hanya bermasalah dengan Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden Bersatu dan dengan menyertai Parti Bebas Rasuah, wadah saja yang berbeza baginya tetapi matlamatnya tetap sama sebagaimana sebelum ini.
Selepas menyertai Parti Bebas Rasuah, Hamidah dipercayai akan diberikan satu jawatan penting dalam parti itu.
Parti Bebas Rasuah, sebelumnya adalah Parti Generasi Baru dan kini sedang dalam proses pertukaran nama dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan. Ia ditukar nama sebaik Ezam mengambil alih parti tersebut.
Sekiranya penyertaan Hamidah itu menjadi kenyataan, bermakna ketiga-tiga pemimpin utama Parti Bebas Rasuah selepas ini adalah merupakan bekas ahli Bersatu.
Sebelum ini, Presidennya, Ezam Mohd Nor dan timbalannya, Khairuddin Abu Hasan, turut pernah menyertai Bersatu tetapi kemudian keluar secara tiba-tiba dengan alasan masing-masing sebelum mereka kemudian bergabung untuk menerajui Parti Bebas Rasuah.
Apakah masa depan Parti Bebas Rasuah makin menyerlah dengan penyertaan Hamidah?
– http://shahbudindotcom.blogspot.my

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.