Wednesday, May 31, 2017

Selepas penduduk tetap, Zakir Naik mohon jadi warganegara

Antara syarat permohonan ialah kebolehan Bahasa Melayu dan perlu bermastautin tidak kurang 10 tahun.
zakir-naik-malaysia

PETALING JAYA: Penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik dilaporkan membuat permohonan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia, menurut akhbar Times of India.
Zakir, yang dikehendaki pihak berkuasa India atas kesalahan pengubahan wang haram di samping tuduhan menyebarkan kebencian, sebelum ini disahkan seorang penduduk tetap (PR) Malaysia, selepas permohonan diluluskan 5 tahun lalu.
Times bagaimanapun berkata pihak berkuasa Malaysia belum meluluskan permohonannya.
Memetik sumber, ia berkata Zakir kini saling berpindah dari satu negara ke negara lain, termasuk Arab Saudi, UAE dan beberapa negara Asean dan Afrika.
Agensi Siasatan Negara India (NIA) baru-baru ini memohon Interpol mengeluarkan notis merah terhadap Zakir bagi menghalang beliau keluar dari Arab Saudi, selepas berulang kali ingkar memberi kerjasama terhadap siasatan ke atasnya.
Zakir yang dikurniakan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dari kerajaan Malaysia pada 2013, merupakan pengasas Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang kini berdepan siasatan di India, dan kerap berkunjung ke Malaysia dan Indonesia dari Arab Saudi.
Beberapa pemimpin kerajaan Malaysia sebelum ini mempertahankan Zakir di sebalik desakan beberapa NGO dan kumpulan Hindu yang tidak puas hati beliau dibenarkan tinggal di negara ini.
Mereka menuduh Zakir membangkitkan isu sensitif yang menyinggung penganut agama lain dalam ceramahnya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kesediaan kerajaan bekerjasama dengan India dalam siasatan terhadap Zakir.
“Jika ada permintaan itu (dari India), kita akan terjemahkannya menerusi kerjasama sepenuhnya,” katanya bulan lalu.
Antara syarat bagi seseorang memohon kewarganegaraan Malaysia ialah dia perlu sudah tinggal di Malaysia selama tidak kurang 10 tahun dalam jagkamasa 12 tahun pada tarikh permohonan dikemukakan.
Pemohon juga perlu mempunyai kebolehan Bahasa Melayu yang memadai, dan disokong permohonannya oleh 2 rakyat Malaysia. -FMT

1 comment:

  1. JUDI ADALAH HARAM DISISI UGAMA ISLAM DAN BERDOSA BESAR.. MENIPU/BERBOHONG JUGA BERDOSA.. SEPERTI KAMU ARDIANSYAH PUTRA.. TAUBAT LA KAMU..

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.