Wednesday, June 28, 2017

BARANG KEMAS MO1 HANYA SEKADAR CERITA, TIADA BUKTI

(Sinar Harian) – Barangan kemas yang didakwa diterima oleh isteri yang didakwa Malaysia Official 1 (MO1) hanya sekadar cerita dalam aduan, tetapi tiada bukti ia dibeli menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa dicuri.
Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sehingga kini tiada bukti ia diserahkan kepada isteri MO1 dan tiada bukti kesemua set barangan kemas ini disimpan oleh isteri MO1.
“Ia juga tidak disenaraikan sebagai aset yang hendak diambil alih Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS).
“Segala ini membuktikan DOJ sendiri tidak pasti mengenai kebenaran cerita pengadu berkenaan barangan kemas ini dan dakwaan terhadap isteri MO1,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, masih belum terbukti barang kemas tersebut dibeli menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB atau hasil dari kegiatan jenayah atau penggubahan wang haram.
“DOJ perlu membuktikan kes mereka dan memenangi perintah mahkamah terlebih dahulu sebelum mengambil alih sebarang aset yang disenaraikan dalam saman sivil ke atas Kumpulan Hotel Viceroy.
“Kes belum berjalan lagi dan saman ini baru sahaja difailkan,” ujarnya.
Jelasnya, sepert yang dinyatakan oleh DOJ, aduan melucut hak sivil hanyalah sekadar dakwaan yang menyebut bahawa terdapat wang atau harta yang terlibat atau merupakan hasil dari perlakuan jenayah.
“Dakwaan-dakwaan ini belum terbukti benar sehingga mahkamah membuat penghakiman yang memihak kepada Amerika Syarikat.
“Selain kewajaran memulangkan barangan kemas ini kepada DOJ yang bukan ‘pemilik yang berhak’ atau ‘penjaga yang telah diberi hak oleh mahkamah AS’ untuk menyimpan barangan kemas ini, terdapat juga polemik tentang kewajaran menyerahkan barangan kemas ini kepada DOJ berdasarkan konteks saman sivil ini,” katanya.
Tun Faisal berkata, tindakan model Miranda Kerr memulangkan barang kemas kepada DOJ tidak perlu diikuti oleh isteri MO1.
“Adakah Kerr berpandangan DOJ akan menjualnya dan memulangkan wang hasil jualan tersebut kepada 1MDB dan rakyat Malaysia dalam keadaan 1MDB berulang kali menyatakan wangnya tidak dicuri?
“Lagipun jika bersandarkan dokumen saman sivil yang difailkan oleh DOJ ke atas Kumpulan Hotel Viceroy ini, dana yang didakwa diselewengkan untuk membeli barangan kemas tersebut secara perundangannya tidak dipunyai atau dikawal selia oleh 1MDB, tetapi adalah dana yang dimiliki atau dikawal selia oleh pihak-pihak yang mempunyai perkaitan dan kepentingan dengan syarikat Aabar dan IPIC milik Abu Dhabi,” katanya.
Terdahulu Kerr memulangkan barang kemas bernilai ASD8.1 juta (RM35 juta) kepada DOJ.
Ini berikutan tuntutan DOJ dalam saman sivil yang difailkan AS berhubung barang kemas yang diberikan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.
Pemberian itu didakwa dibeli dengan dana 1MDB.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.