Sunday, August 27, 2017

Malaysia gagal pertahan emas perseorangan badminton lelaki

Iskandar Zulkarnain Zainuddin terpaksa akur apabila tewas dalam perlawanan suku akhir kepada pemain Vietnam, Tian Minh Nguyen 21-16, 17-21, 18-21.
iskandar
KUALA LUMPUR: Cabaran negara untuk mempertahankan pingat emas acara perseorangan lelaki Sukan SEA berakhir apabila kedua-dua wakil negara tersingkir awal pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Iskandar Zulkarnain Zainuddin, 26 tahun, terpaksa akur apabila tewas dalam perlawanan sengit peringkat suku akhir kepada pemain Vietnam, Tien Minh Nguyen 21-16, 17-21, 18-21 di Arena Axiata, hari ini.
Pemain muda negara, Lee Zii Jia pula terlebih dahulu ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kedua sekali gus menutup peluang Malaysia mempertahan pingat emas yang diperoleh di Singapura, 2 tahun lepas
Namun peluang Malaysia dalam badminton tidak berakhir di situ apabila masih mempunyai wakil bagi acara perseorangan wanita melalui pemain Soniia Cheah dan Goh Jin Wei yang menunjukkan prestasi lebih baik dengan menjejakkan kaki ke saingan separuh akhir.
Soniia perlu lebih berhati-hati dengan pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung yang terlebih dahulu menundukkan pemain nombor 12 dunia yang juga pilihan pertama kejohanan, Busanan Onvbamrungphan (dari Thailand di suku akhir.
Soniia mengalahkan Thuy Linh Nguyen (Vietnam) 21-18, 13-21, 21-12 manakala Jin Wei akan bertemu pemain Thailand, Pornpawee Chochuwong selepas menewaskan Fitriani Fitriani (Indonesia) 13-21, 21-15, 21-12.
Beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei akan berjumpa Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai selepas tewaskan Ong Re-Ne dan Crystal Wong Jia Ying (Singapura), 21-12, 21-10.
Manakala beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan beraksi menentang beregu pilihan pertama kejohanan yang berada di ranking ke-16 dunia, Bodin Issara-Nipitphon Phuangphuapet dari Thailand selepas mereka menundukkan Carlos Antonie Cayanan-Philip Joper Escueta (Filipina) 21-12, 21-6.
Namun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran yang tepat ke atas beregu campuran apabila kedua-dua wakil negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan Goh Soon Huat-Shevon Lai mara ke separuh akhir, esok.
Soon Huat-Shevon yang berada di ranking ke-18 dunia dijadualkan bertemu pemain Thailand, Bodin Issara-Savitree Amitrapai (21) dilihat mempunyai peluang lebih cerah untuk mara ke final berbanding pasangan Peng Soon-Yee See (81) yang akan bertemu beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.
Peng Soon berkata pertemuan dengan beregu nombor 8 dunia itu bukan sesuatu yang menjadi bebanan kepadanya sebaliknya ia mengurangkan tekanan yang sekali gus boleh mendorong kepada prestasi lebih baik.
“Saya rasa tekanan untuk perlawanan esok lebih sedikit berbanding hari ini. Apa yang penting kami kena fokus.
Lagipun saya yakin dengan adanya sokongan rakyat Malaysia di dalam stadium, ia boleh mengurangkan rasa panik dan buat kami lebih semangat,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan menewaskan beregu Singapura, Terry Hee Yong Kai-Tan Wei Han 16-21 21-19 21-16.
Sementara itu, Soon Huat-Shevon berhasrat mahu ke final sekali gus membalas dendam terhadap beberapa kekalahan ke atas pasangan Bodin Issara-Savitree Amitrapai.
Katanya, mereka bertekad mahu mara ke final dan mengetepikan prestasi kurang konsisten dan kurang keyakinan yang boleh menjadi penyebab kepada kekalahan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.