Monday, November 27, 2017

Belia India dakwa kronisme dalam pertanian, gesa layanan sama rata

Rata-rata peserta dialog agromakanan TN50 menggesa kerajaan bertindak memastikan lebih banyak peluang dan maklumat diberikan kepada belia India.
Pengarah Bahagian Pengembangan Pertanian dan Industri Asas Tani, Mokhtar Sulai berinteraksi bersama belia India dalam program Aspirasi TN50 Sektor Agromakanan Negara bersama Belia India anjuran Jabatan Pertanian di Institut Pertanian, Serdang.
Pengarah Bahagian Pengembangan Pertanian dan Industri Asas Tani, Mokhtar Sulai berinteraksi bersama belia India dalam program Aspirasi TN50 Sektor Agromakanan Negara bersama Belia India anjuran Jabatan Pertanian di Institut Pertanian, Serdang.
SERDANG: Belia India di dialog Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) Sektor Agromakanan Negara mendakwa kronisme dalam bidang pertanian menyebabkan mereka tidak dapat merebut peluang dalam bidang itu.
Seorang peserta, yang hanya dikenali sebagai Saravanan, menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberikan peluang sama rata kepada belia India agar lebih ramai berminat menceburi bidang itu.
“Apa yang saya lihat, kebanyakan mereka memberi kepada kroni-kroni. Saya sudah terlibat dalam bidang pertanian, tetapi sukar untuk memohon mendapatkan geran pertanian. Sudah mohon 5 tahun untuk dapatkan geran tetapi masih gagal. Kita mahu peluang sama rata diberikan kepada kami,” katanya di program yang dihadiri kira-kira 100 belia India di Institut Pertanian.
Rata-rata peserta di program hari ini menggesa kerajaan bertindak memastikan lebih banyak peluang diberikan kepada belia India dalam bidang pertanian.
Seorang peserta, yang hanya dikenali sebagai Krishnen, menggesa kerajaan mengenakan kawalan ke atas sayur-sayuran import bagi melindungi pengusaha tempatan.
Antara 100 belia India yang hadir dalam  program Aspirasi TN50 Sektor Agromakanan Negara bersama Belia India anjuran Jabatan Pertanian di Institut Pertanian, Serdang.
Antara 100 belia India yang hadir dalam program Aspirasi TN50 Sektor Agromakanan Negara bersama Belia India anjuran Jabatan Pertanian di Institut Pertanian, Serdang.
“Cili Malaysia dan Vietnam jika dibandingkan harga cili Vietnam lagi murah. Macam mana benda murah boleh masuk? Sudah tentu pembeli akan beli yang lagi murah, manakala, harga sayuran di Malaysia kebanyakannya tidak ditetapkan. Kita minta harga kawalan yang lebih serius agar pengusaha tidak rugi,” katanya.
Dalam Bajet Malaysia 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memgumumkan peruntukan RM6.5 bilion kepada pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah.
Sebanyak RM2.3 bilion diperuntukkan untuk bantuan dan insentif seperti baja serta input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan, sementara kira-kira RM500 juta diperuntukkan bagi menambah baik infrastruktur pengairan di kawasan pertanian dan menaik taraf jalan ladang.
Seorang peserta, Sivanataha bagaimanapun mendakwa kebanyakan peruntukan yang diberikan kerajaan tidak sampai kepada petani di bawah.
Oleh itu, beliau mahu maklumat mengenai peruntukan kerajaan disampaikan dengan lebih jelas dan lengkap.
“Kita mahu tahu agensi pertanian mana yang uruskan dan ke mana peruntukan diberikan. Kita lihat kebanyakan peruntukan tidak sampai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengembangan Pertanian dan Industri Asas Tani, Mokhtar Sulai berkata pihaknya akan berusaha mengatasi masalah yang disuarakan dalam program hari ini.
Mokhtar berkata masalah yang timbul itu mungkin mereka tidak didedahkan mengenai peranan setiap jabatan dan agensi pertanain secara keseluruhan.
“Kekurangan pendedahan maklumat ini menyebakan mereka berasa mereka tidak diberi peluang.
“Kita akan tingkatkan pemberian maklumat dam cara untuk mereka mendapatkan bantuan daripada pihak kementerian.
“Bagaimanapun mereka juga perlu berusaha mendapatkan maklumat itu dan bukan sebelah pihak sahaja. Semua cadangan masalah ini akan kita baiki,” katanya. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.