Friday, December 29, 2017

Pelaksanaan 2 guru dalam 1 kelas perlu perancangan rapi

Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon berkata Malaysia sekarang dalam usaha memenuhi kekurangan guru di sekolah.
Chong-Sin-Woon
CYBERJAYA: Pelaksanaan 2 guru dalam 1 kelas memerlukan perancangan rapi selain bergantung kepada kemampuan kerajaan kerana ia akan meningkatkan bilangan guru sedia ada dan perbelanjaan besar, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon.
Beliau berkata, pelaksanaan 2 guru dalam 1 kelas merupakan cadangan yang baik dan ia sudah dilaksanakan di negara maju di mana seorang lagi guru berperanan sebagai pembantu.
“Namun, realitinya Malaysia masih dalam usaha untuk memenuhi permintaan guru di sekolah terlebih dulu sebelum negara mencapai tahap negara maju di mana ada 2 orang guru boleh ditempatkan dalam 1 kelas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Kemahiran Bahasa Inggeris kepada 15 pelajar cacat pendengaran dari Zhengzhou Institute of Technology, China di Limkokwing University of Creative Technology, hari ini.
Chong berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan sebuah akhbar hari ini mengenai kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin bahawa Kementerian Pendidikan sedia mempertimbang pelaksanaan 2 guru dalam 1 kelas. Pelaksanaan ini adalah selaras keperluan pedagogi atau proses pengajaran berikutan arahan pemansuhan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid menjelang 2019.
Jelas Chong, pada masa ini terdapat lebih kurang 5 juta pelajar di Malaysia dengan 450,000 orang guru.
“Jika 2 guru dalam 1 kelas dilaksanakan, jumlah guru akan menjadi 1 juta dan ini akan memakan belanja yang sangat besar. Jangan terlalu mengejar untuk mengikut negara maju tapi sebenarnya belum mampu lagi,” tambah beliau.
Jelas Chong, Malaysia perlu memberi keutamaan untuk memenuhi keperluan guru di sekolah kurang murid sebelum melaksanakan konsep 2 guru dalam 1 kelas.
Sebagai contoh, katanya, jika sebuah sekolah kurang murid mempunyai 6 orang murid iaitu 1 bagi setiap darjah dari Tahun Satu hingga Tahun Enam, maka 6 orang guru diperlukan. Jika dicampur seorang guru besar dan seorang guru penolong kanan, maka sebuah sekolah kurang murid memerlukan 8 orang guru semuanya biarpun hanya mempunyai 6 murid.
Mengenai pelaksanaan menempatkan pembantu guru di sekolah, Chong berkata, setakat ini hanya projek perintis dilaksanakan.
Kalau ada bajet baharu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan ia secara sepenuhnya, jelasnya. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.