Monday, January 1, 2018

SETAHUN YANG DIPENUHI SKANDAL AGENSI KERAJAAN

PADA 2016, rakyat Malaysia terus dikejutkan dengan pendedahan demi pendedahan berkaitan skandal syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kejutan itu turut menyelubungi 2017, apabila rakyat Malaysia terus menerus menerima khabar penipuan, salah guna kuasa dan tadbir urus melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan badan berkanun.
Rakyat Malaysia terus dipaksa “menelan” pelbagai kisah salah laku dalam agensi seperti Felda dan Mara yang kehilangan jutaan ringgit kerana salah tadbir, khilaf keputusan perniagaan, korupsi dan salah guna kuasa.
Agensi pencegahan rasuah menyiasat dakwaan urus niaga tanah yang tak masuk akal dan pembelian hartanah dengan harga tinggi, selain penyelewengan dan penipuan duit rakyat.
Berikut adalah komplikasi skandal yang pecah tembelangnya atau dalam perkembangan dipecahkan berlaku tahun ini:
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)
Felda pastinya akan diingati tahun ini, atas semua sebab yang salah.
Agensi itu dahulunya pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa kerana kejayaannya menghapuskan kemiskinan luar bandar negara dunia ketiga. Tetapi tahun ini, ia akan diingati kerana pelbagai urus niaga tanah meragukan, keputusan perniagaan yang dipersoalkan serta kemelut kepimpinan.
Pelbagai kontroversi yang melanda anak syarikatnya terbongkar tahun ini apabila pengerusinya, Mohd Isa Samad digantikan dan disiasat kerana korupsi.
Isa menerajui Felda, anak syarikatnya, Felda Investment Corporation (FIC) dan cabang perladangannya, Felda Glibal Ventures (FGV) sebagai pengerusi.
Jawatannya sebagai pengerusi Felda digantikan oleh Ahli Parlimen Johor Baru, Shahrir Samad pada Januari.
Pada Jun pula, Isa dipaksa meletak jawatan dalam FGV susulan kemelut kepimpinan dalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Zakaria Arshad.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga melancarkan siasatan atas dakwaan pembayaran lewat melibatkan syarikat Afghanistan, Safitex untuk produk minyak kelapa sawit dibekalkan oleh anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.
Zakaria dibebaskan daripada sebarang salah laku dan kembali menyambung tugasnya di FGV pada Oktober.
Apabila FGV mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada akhir Jun 2012, ia menjadi tawaran awam permulaan (IPO) kedua terbesar dunia – yang pertama adalah Facebook – tahun itu pada nilai AS$3.1 bilion (RM9.93 bilion).
Former Felda chairman Mohd Isa Samad being escorted out of the Putrajaya magistrate's court today. He is being remanded to assist investigations into the purchase of two hotels in London and Kuching. – The Malaysian Insight pic by Nazir Sufari, August 16, 2017.
Former Felda chairman Mohd Isa Samad being escorted out of the Putrajaya magistrate’s court today. He is being remanded to assist investigations into the purchase of two hotels in London and Kuching. – The Malaysian Insight pic by Nazir Sufari, August 16, 2017.
Tetapi, pelbagai kesilapan pengambil alihan sejak itu menyebabkan nilai pasarannya jatuh menjunam sehingga 65%, berkurang lebih kurang RM13.4 bilion nilai sahamnya.
Antara urus niaga FGV yang paling dipersoalkan adalah pengambilalihan Cambridge Nanosystems Ltd, yang mengeluarkan nanotube karbon gred tinggi dan grapheme. Ia rugi sekurang-kurangnya RM117 juta dalam tempoh empat tahun.
Satu lagi kerjasama perniagaan yang meragukan berlaku antara Felda Iffco Sdn Bhd milik FGV dan pengeluar makanan berpangkalan di Abu Dhabi, IFFCO yang menyebabkan kerugian mencecah RM23.6 juta.
Setakat 29 Disember, harga saham FGV adalah RM1.69 jatuh mendadak berbanding RM4.84 pada Julai 2012, beberapa hari selepas ia diniagakan.
Felda beli hotel di UK dan Sarawak
Tidak lama selepas kemelut lembaga pengarah FGV, SPRM memulakan siasatan pada Julai melibatkan sebuah lagi pembelian dilakukan sebuah lagi anak syarikat Felda. Kali ini pembelian itu adalah sebuah hotel empat bintang di kawasan kediaman elit, Kensington di London.
FIC didakwa membeli hartanah itu pada Disember 2014 dengan harga £60 million (RM330 juta), yang dipercayai lebih tinggi berbanding harga sebenar pasaran.
SPRM juga menyiasat satu lagi pembelian FIC, sebuah hotel di Kuching yang dibeli dengan harga RM160 juta walaupun nilai pasarannya hanyalah RM50 juta.
Isa, yang merupakan pengarah bukan eksekutif FIC, ditahan dan direman pada Ogos untuk membantu siasatan.
Felda jual tanah Jalan Semarak
Satu lagi skandal terbongkar sebelum 2017 menutup tirainya apabila akhbar Berita Harian melaporkan empat bidang tanah agensi itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur bernilai RM270 juta dipindah milik dalam sebuah urus niaga meragukan.
Lembaga pengarah Felda mendakwa tidak tahu menahu tentang transaksi itu, tetapi pengerusi semasa, Shahrir mendakwa wujud unsur penipuan dalam urus niaga itu.
Pemindahan milik itu melibatkan empat perjanjian jual-dan beli berbeza dilakukan Synergy Promenade Sdn Bhd, sebuah syarikat dilantik FIC.
Syarikat itu diberikan surat kuasa wakil penuh (power of attorney) untuk membangunkan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di tanah itu.
Tetapi, siasatan dalaman mendapati pemaju KLVC memindahkan hak milik tanah itu kepada Synergy Promenade.
Shahrir berkata Felda akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan tanah itu kembali.
Skandal hartanah Mara di Australia
Seperti Felda, Mara atau Majlis Amanah Rakyat adalah agensi yang sepatutnya membantu orang miskin.
Didedahkan oleh Malaysiakini yang mendakwa pegawai agensi itu menyeleweng berjuta duit rakyat dalam pembelian hartanah di Melbourne menggunakan orang tengah.
Mara membayar AS$41.8 juta (RM138 juta) kepada Thrush Cross Land Holdings Ltd, syarikat palsu bernilai AS$2 yang diperbadankan di Kepulauan British Virgin (BVI) yang didakwa memiliki bangunan di Melbourne.
Pada Januari 2013, Thrushcross Land membayar AS$23.5 juta kepada pemilik sebenar untuk bangunan 12 tingkat itu, lima bulan selepas Mara membeli syarikat BVI yang dikatakan memiliki hartanah itu.
Pada 19 Julai 2013, pegawai atasan Mara Inc memajak hartanah itu untuk menjana wang bagi membeli sebuah lagi bangunan di Melbourne- Dudley House. Transaksi ini juga sedang disiasat kerana penipuan, korupsi dan penggubahan wang haram.
Fairfax Media melaporkan yang kos bangunan penginapan pelajar Melbourne itu dinaikkan sebanyak A$4.75 juta untuk “membayar rasuah” yang wujud dalam urus niaga itu.
Pecahnya skandal itu menyebabkan SPRM melancarkan siasatan dan menahan beberapa orang, yang kemudiannya dibebaskan tanpa didakwa, sementara itu polis Australia juga sedang menjalankan siasatannya sendiri.
Urus niaga tanah exco Johor
Exco Johor, Abdul Latif Bandi, anak lelakinya dan seorang perunding hartanah didakwa dengan 21 pertuduhan penggubahan wang haram dan 33 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM30.3 juta.
Rasuah itu didakwa diterima daripada pemaju hartanah untuk mengubah status lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera.
Perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abdul Raub dan Latif didakwa menerima rasuah untuk mengurangkan 7.5% levi yang dikenakan ke atas pemaju bagi mengubah status tanah.
DAP bagaimanapun mendakwa korupsi itu melibatkan pegawai tertinggi negeri lain malah melibatkan Menteri Besar Johor, Khaled Nordin.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri, Adun Senai Wong Shu Qi bertanyakan soalan kepada Khaled untuk menjawab dakwaan yang beliau menerima habuan RM12 juta dalam urus niaga itu.
Bekas timbalan pengarah Jabatan Air Sabah Teo Chee Kong (baju merah) ketika sampai di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 13 Disember 2017. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2018.
Bekas timbalan pengarah Jabatan Air Sabah Teo Chee Kong (baju merah) ketika sampai di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 13 Disember 2017. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2018.
Ketua Jabatan Air Sabah didakwa
Pada Disember, bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, Teo Chee Kongdidakwa dengan 146 pertuduhan penggubahan wang haram mencecah RM32 juta, salah satu kes rasuah terbesar pernah dikendalikan SPRM.
Teo, 52, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas 78 pertuduhan penggubahan wang haram mengikutSeksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001serta 68 pertuduhan lagi mengikut seksyen 4 (1) (b) akta yang sama.
Beliau ditahan bersama-sama pegawai lain didakwa menyeleweng dana projek jabatan itu.
Semasa ditahan, SPRM turut merampas barang kemas, beg tangan berjenama, kereta, sijil tanah dan pelbagai barangan lain bernilai sekitar RM114 juta, bersama-sama RM53.7 juta wang tunai.
SPRM menyifatkan rampasan wang tunai itu adalah terbesar pernah dilakukan agensi itu.
Kerugian pelaburan pasukan keselamatan
Pada Ogos, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendakwa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang bertanggungjawab membayar pencen anggota tentera mencatatkan kerugian pelaburan mencecah RM120 juta.
Rafizi berkata Penyata Kewangan LTAT 2016 menunjukkan yang lembaga itu kerugian RM120 juta.
Lembaga itu mencatatkan perolehan lebih tinggi pada 2016 (RM811 juta) berbanding 2015 (RM767 juta), tetapi membayar dividen yang sama kepada pencarumnya, sebanyak 12%.
Rafizi sudah memfailkan pertanyaan di Parlimen kepada kerajaan tetapi masih belum menerima jawapan.
Penjualan tanah TRX kepada syarikat MoF
Walaupun urus niaga itu berlaku pada 2015, kontroversi penjualan tanah Tun Razak Exchange (TRX) kepada Tabung Haji dan LTAT kembali menjadi tumpuan berita.
Ahli Parlimen DAP, Tony Pua mengatakan Putrajaya terus menyembunyikan maklumat terperinci tentang penjualan itu walaupun ia melibatkan jual beli antara dua agensi kerajaan.
Arome Teraju Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan membeli tanah TRX dari 1MDB.
Dalam jawapan kepada soalan dikemukakan Pua di Parlimen, kementerian menggunakan alasan klausa kerahsiaan untuk tidak mendedahkan maklumat lanjut urus niaga itu.
Pua mendakwa jawapan kementerian menunjukkan ada cubaan untuk melindungi kenyataan yang MoF terlebih bayar untuk lot tanah yang kecil dalam kawasan strategik ibu kota itu.
Tanah ini jugalah yang dijual kementerian dengan harga rendah kepada 1MDB pada 2010. – 1 Januari, 2018.
– https://www.themalaysianinsight.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.