LIPUTAN besar-besaran skandal penyelewengan Felda dan bekas Pengerusi, Isa Samad digunakan untuk menutup kes Malaysia Official Nombor 1 (MO1), kata Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohammad.
Beliau mempersoalkan mengapa Isa, yang pernah menjadi pemimpin tinggi Umno lebih dua dekad termasuk sebagai menteri besar Negeri Sembilan baru sekarang dikenakan tindakan dan menyifatkannya sebagai cubaan mengalih perhatian rakyat.
“Untuk mengalih pandangan rakyat dari jenayah Malaysia Official 1 (MO1), kes Isa Samad diberi tumpuan akhbar dan TV kerajaan. Isa jadi MB (menteri besar) 20 tahun lebih – tak ada masalah. Kenapa sekarang di banyak masalah. Mungkinkah kerana dia nak dijadikan kambing hitam untuk menutup jenayah tertentu,” kata beliau dalam ucapan sempena Mesyuarat Agung Bersatu yang pertama di Shah Alam hari ini.
Seramai 900 perwakilan daripada 138 Bahagian hadir sejak pagi lagi bagi menyertai AGM sulung hari ini.
Dr Mahathir merujuk kepada dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berkenaan skandal 1MDB sebelum ini yang menyatakan kewujudan seorang pemimpin Malaysia yang digelar MO1.
Skandal penjualan tanah, aset dan pemilikan Felda kini menjadi tajuk utama akhbar negara dan semuanya didapati berlaku ketika Isa menerajuinya dari tahun 2011 hingga Mac lalu.
Isa dilantik sebagai pengerusi Felda oleh Perdana Menteri Najib Razak dan dilihat sebagai rakan baik sejak bersama-sama dalam Pemuda Umno pada tahun 1980-an.
Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno selama 22 tahun berkata, Najib turut cuba melakukan pelbagai cara menewaskan beliau termasuk menggunakan aparatus kerajaan untuk membatalkan pendaftaran Bersatu.
“Najib tak payahlah kamu sangkal. Dunia tahu jenayah yang kamu lakukan. Merekalah yang mendakwa kamu kleptokrat,” kata beliau.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Oktober lalu, mendedahkan parti itu berdepan kemungkinan dibatalkan penubuhannya kerana melanggar perlembagaannya sendiri dan juga Akta Pertubuhan kerana gagal mengadakan AGM selepas setahun penubuhannya.
Ketua Pengarah RoS Suriyati Ibrahim bulan lepas berkata, parti itu perlu menyelesaikan perkara itu secepat mungkin sekiranya ingin mengambil bahagian dalam pilihan raya umum akan datang.
– https://www.themalaysianinsight.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.