Tuesday, May 1, 2018

Ini bukan soal rasis, ini perjuangan Melayu

Kita perlu sedar perjuangan untuk satu-satu kaum itu tidak bermakna ia bersifat perkauman.
KOMEN
Oleh Ghazali Mat Dom
Dikatakan Melayu berpecah, menjadikan undi kaum lain, khususnya Cina dan India sebagai undi penentu. Ini bukan andaian, tetapi kumpulan minoriti akan menjadi penentu apabila Melayu berpecah.
Ini bukan soal rasis – perkauman, tetapi ini dalam konteks demokrasi dan apa yang ada ialah usaha untuk mendapat undi dan parti yang memperoleh undi terbanyak akan dinobatkan sebagai kerajaan.
Sungguhpun persoalan perkauman amat sensitif dan tidak seharusnya digunakan dalam negara yang hampir maju, yang mula dikatakan buta warna kulit, tidak membezakan kaum dan tidak juga ada halangan perbezaan kepercayaan, tetapi perjuangan untuk kaum tetap berlaku dan hakikat ini tidak boleh disapu ke bawah tikar sahaja.
Kita perlu sedar perjuangan untuk satu-satu kaum itu tidak bermakna ia bersifat perkauman. Seharusnya perjuangan untuk sesuatu kaum tidak sepatutnya dilihat dari sudut negatif, seperti usaha menindas sesuatu kaum, umpamanya.
Ia hanya bermatlamatkan pembangunan kaum itu agar ini menyumbang kepada pembangunan menyeluruh. Ini perlu untuk kestabilan dan memberi makna yang menyeluruh kepada pembangunan dan keharmonian bersama.
Ukuran keadilan pembangunan antara kaum inilah yang akan memberi makna besar pada kesejahteraan.
Justeru, sekiranya ada yang menceritakan pembangunan dan perjuangan Melayu dalam erti kata lebih besar – ini bukan merujuk kepada diskriminasi dalam mana-mana kaum, maka ia perlu diteliti dan bukan diserang sebagai rasis.
Untuk mengimbangi kepentingan semua kaum adalah sesuatu yang amat sukar, tetapi ia perlu dilaksanakan.
Umpama kaum Cina yang dikatakan menyerlah dari sudut perekonomian dan mahu menuntut kesamarataan dalam semua bidang, termasuk penyertaan dalam politik dan pembangunan sosial – ini tidak salah, seperti mana orang Melayu yang mahu pembelaan dari sudut ekonomi dan kemajuan dalam perniagaan.
Perjuangan ini adalah penting berasaskan kehendak dan keperluan pembangunan satu-satu kaum tanpa diskriminasi dan berlaku kezaliman sesama mereka. Pencapaian kemajuan semua kaum itulah yang tidak mencacatkan pembangunan, malah akhirnya akan memberi kesan positif kepada negara.
Ini juga melibatkan perjuangan politik dalam Umno, membicarakan persoalan pembangunan dan pembelaan terhadap orang Melayu.
Kita tidak boleh mengambil sikap negatif dalam perjuangan Umno mahupun perjuangan MIC, MCA, DAP, Gerakan dan mana-mana parti lain di Sabah dan Sarawak.
Semua ada matlamat dan mahu menentukan suara-suara mereka dalam urusan pentadbiran dan penggubalan undang-undang didengari.
Oleh sebab itu, usaha memartabatkan perjuangan bangsa perlu ada, dan ini tidak melibatkan penindasan, diskriminasi dan manipulasi dalam membicarakan soal perkauman.
Kita sebagai rakyat Malaysia juga perlu membesarkan minda dalam membicarakan isu pembelaan bangsa.
Tidak adil bila membicarakan pembelaan Melayu dari sudut kedudukan dan kemampuan mereka bersaing, maka atas nama manipulasi untuk kepentingan politik, ia dituduh sebagai isu perkauman.
Menuduh itu dan ini sebagai satu isu perkauman khususnya oleh parti yang mendakwa diri mereka parti berbilang kaum adalah bentuk-bentuk manipulasi kepentingan politik yang tidak sihat.
Kita harus sedar tuduhan bahawa perjuangan membela dan usaha menaikkan taraf ekonomi Melayu itu penting dan bukan isu rasis.
Mereka yang tidak bertanggungjawab atau hanya mahu memecahbelahkan perjuangan orang Melayu – menghalang dan menuduh hanya untuk kepentingan politik semata-mata.
Dr Chandra Muzaffar dalam artikel bertajuk “Haluan Perhubungan Etnik di Malaysia” pada 1974 berbunyi:
“Masalah Etnik akan terus wujud. Kesilapan bukan terletak kepada Perlembagaan atau kedudukan bahasa, agama dan komuniti atau dasar untuk menolong orang-orang Melayu. Realiti adalah berkecuali. Apa yang lebih asas ialah cara perbezaan etnik diatasi, cara bagaimana kepentingan politik dan ekonomi disesuaikan dan cara mana keharmonian tercapai. Ini akan menentukan keadaan perhubungan etnik. Oleh sebab inilah yang memimpin merupakan faktor penting.”
Mengambil rujukan ini, kepimpinan baik dari segmen manapun menjadi faktor penting dalam membentuk keharmonian negara.
Sekiranya ada yang menyebut mengenai Melayu, maka melenting-lenting diibaratkan kenyataan rasis dan digunakan sebagai kempen politik – itu hanya menunjukkan kepimpinan yang tidak bertanggungjawab.
Ini amat menyulitkan dan akhirnya kempen untuk politik – menuduh rasis hanya akan memanipulasi pemikiran yang kononnya liberal dan sudah maju untuk melupakan keperluan membela nasib orang Melayu.
Kita perlu sedar mengenai keperluan menjaga kepentingan, khususnya mengimbangi kuasa politik agar tidak terbiar dan tertindas.
Orang Melayu sudah disedarkan oleh Datuk Onn Jaafar dalam kenyataan berikut:
“Political power without economic power is a shadow. The industrial and commercial mechanism is the means by which a country satisfied the necessaries of life according to its standards of living. Those who control a vital factor in it can, if they wish, obstruct or cut off the supply of the necessity and so being decisive pressure to bear upon the political authority.”
Mengambil makna: Kuasa politik tanpa kuasa ekonomi adalah bayang-bayang. Mekanisme industri dan komersial adalah cara di mana sebuah negara memenuhi keperluan kehidupan mengikut taraf hidupnya. Mereka yang mengawal faktor penting di dalamnya boleh, jika mereka mahu, menghalang atau memotong bekalan keperluan dan seterusnya menjadi tekanan penentu ke atas pihak kuasa politik.
Dato Onn Jaafar CO 537/4785, Memorandum National Services for Malays (Muka surat 220, Buku Dato Onn, Pengasas Kemerdekaan, karya Prof Ramlah Adam).
Ringkasan ini boleh dibuat tanpa merujuk kononnya ini adalah serangan rasis. Orang Melayu juga perlu memahami hanya kuasa politik – yang ada tanpa kuasa ekonomi, Melayu hanya kuat pada kulit dan tidak teras.
Pemegang kuasa ekonomi mampu menekan dan mendesak, lantas kuasa politik itu hanya bayangan pada kuasa ekonomi.
Justeru, perjuangan Melayu jangan terbantut semata-mata dituduh ia adalah perjuangan rasis.
Mereka yang mendabik dada kononnya adalah parti pelbagai kaum – menuduh satu lagi parti sebagai rasis hanya mahu merampas kuasa politik tanpa kesedaran keperluan membela isu berkaitan pembelaan Melayu tanpa malu dan segan. Ini bukan soal rasis, ini perjuangan Melayu.
Ghazali Mat Dom ialah pembaca FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.