Tuesday, June 5, 2018

Menteri arah buka cadangan hapus monopoli beras

Salahuddin Ayub akan menyediakan kertas cadangan yang menghimpunkan pandangan pakar dalam dan luar kementerian.
PUTRAJAYA: Menteri mengarahkan ketua setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membuka kertas cadangan menghapuskan monopoli beras.
Menteri Salahuddin Ayub berkata perkara itu dimaklumkan ke jemaah menteri minggu lepas dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menugaskan beliau menyediakan kertas cadangan membuka monopoli itu.
Beliau berkata pandangan dari dalam kementerian dan pihak luar akan dikumpul sebelum disiapkan dan dibentang ke Kabinet.
“Kita akan kumpul pandangan dalaman kita dan saya juga akan membuka satu badan konsultan terdiri daripada tokoh-tokoh buat cadangan buka monopoli ini,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertanian hari ini.
Isu monopoli beras dan peranan syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dimuatkan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.
Pada Disember 2017, akhbar Singapura melaporkan Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue) mendakwa Bernas tidak membantu para petani dan pekilang meningkatkan ekonomi hidup mereka, sebaliknya tertumpu kepada memaksimumkan keuntungan sendiri.
Padi Rescue mendakwa Bernas meningkatkan import beras murah gred rendah dan menyebabkan pekilang beras kecil tutup dengan memonopoli rantaian pengeluaran beras.
Bernas menafikan tuduhan itu dan berkata ia membeli hanya sekitar 30% daripada keseluruhan padi yang dihasilkan dalam negara, manakala selainnya diproses oleh pekilang beras lain.
Padi Rescue di Konvensyen Pakatan Harapan Januari tahun ini antaranya mahu kerajaan menubuhkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara sebagai badan kawal selia, memberikan hak pemborong dan peruncit kepada pertubuhan peladang kawasan, dan menghapuskan kuota monopoli penghasilan padi benih yang diberikan kepada pihak tertentu. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.