Friday, June 29, 2018

SELEPAS AKAUN BANK DIBEKU, HANYA KU LI BOLEH SELAMATKAN UMNO

Berikutan akaun bank UMNO telah dibekukan oleh SPRM, parti itu kini benar-benar dalam keadaan bahaya jika para perwakilan membuat kesilapan dalam memilih pemimpin pada pemilihan, 30 Jun ini.
Penyiasatan SPRM mungkin menjurus ke arah untuk mengetahui daripada mana datangnya sumber kewangan UMNO selama ia dipimpin oleh Najib Razak sebelum ini.
Jika penyiasatan SPRM mendapati sumber kewangan UMNO, sebahagian atau semuanya adalah berpunca daripada dana 1MDB yang diselewengkan atau lebih tepat ia datang daripada wang RM2,600 juta yang pernah masuk ke akaun peribadi Najib, parti itu pasti berdepan masalah kewangan dalam jangka masa yang lebih panjang lagi.
Tidak mustahil akaun bank milik UMNO itu akan terus dibekukan atau wangnya dirampas oleh kerajaan.
Jika itu yang berlaku, bagaimanakah UMNO mahu membayar gaji kakitangan, urusan pentadbiran pejabat, segala macam bil bulanan, membiayai aktiviti dan sebagainya?
Di antara ketiga-calon Presiden UMNO – Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin – siapakah yang paling stabil kedudukan kedudukannya dan mempunyai rekod pengorbanan yang tinggi kepada parti?
Berbanding Ku Li yang pernah mendermakan tanahnya untuk membina PWTC, apakah Zahid Hamidi atau KJ mampu atau sedia menggunakan wang sendiri untuk membiayai kos operasi UMNO jika pembekuan akaun bank itu memakan tempoh masa yang lama?
Selain itu, kalau penyiasatan SPRM, misalnya mendapati wujud keraguan dalam sumber kewangan UMNO selama ini, ia dengan sendirinya bermakna ramai pemimpin UMNO, terutamanya Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin, akan berdepan penyiasatan oleh agensi pencegah rasuah itu kerana kedua-duanya dianggap dekat dengan Najib serta merupakan pemimpin kanan parti sebelum ini.
Kiranya para perwakilan masih mahu mengundi Zahid Hamidi atau KJ, sediakah mereka menerima hakikat bahawa salah seorang atau kedua-dua pemimpin itu bakal disiasat SPRM dan dipakaikan baju oren akhirnya?
Hanya Ku Li yang mungkin terlepas daripada penyiasatan SPRM kerana beliau tidak berada dalam barisan kepimpinan tertinggi UMNO sewaktu Najib menjadi Presiden parti itu.
Sama ada untuk menyelamatkan UMNO dan memastikan ia terus beroperasi kerana memiliki kedudukan kewangan yang stabil serta ada rekod terpuji dalam menguruskan kewangan negara dan agensi kerajaan sebelum ini, selain bebas daripada radar siasatan atau penahanan SPRM – kedua-duanya jelas hanya berpihak kepada Ku Li.
Sebaliknya, mengundi Zahid Hamidi atau KJ, hanya mengundang petaka dan nasib buruk buat UMNO yang sudah pun kehilangan kuasanya itu.
– http://shahbudindotcom.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.