Monday, July 30, 2018

Pecah Mara langgar akta, kata bekas menteri

Ismail Sabri berkata Majlis Amanah Rakyat ditubuhkan sebagai sebuah badan berkanun di bawah Akta Mara 1966
KUALA LUMPUR: Merombak Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan meletakkan fungsinya di bawah beberapa kementerian berdasarkan bidang mungkin melanggar kata, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.
Bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu mengingatkan Mara ditubuhkan sebagai sebuah badan berkanun di bawah Akta Majlis Amanah Rakyat 1966.
“Saya kira jika dilaksanakan akan menggugat hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera seperti yang tertakluk di dalam akta berkenaan,” katanya pada sidang media di ruang legar Parlimen hari ini.
Media pada 27 Julai lepas melaporkan bekas pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata terdapat laporan Mara akan dirombak, dan pada 28 Julai lepas dilaporkan terdapat senarai yang mengandungi cadangan membahagikan fungsi Mara kepada beberapa kementerian.
Pakatan Harapan dalam manifesto yang memberi kemenangan kepada gabungan itu pada pilihan raya 9 Mei lepas berikrar akan memperkasa Mara jika membentuk kerajaan.
Ismail berkata rombakan seperti itu bakal merencatkan usahawan Bumiputera yang bernaung di bawah badan itu.
“Terdapat lebih kurang 1 juta usahawan yang akan menerima implikasi jika cadangan itu diluluskan.
“Perpecahan Mara oleh kerajaan akan menganggu gugat ekonomi mereka ini dan pendidikan orang Melayu serta melanggar akta,” katanya. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.