Wednesday, May 1, 2019

2 lelaki asing maut di hospital Ipoh disyaki akibat arak tiruan


Dr Ding Lay Ming berkata, 2 lelaki Bangladesh dan Myanmar dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 28 April lalu dan meninggal dunia awal pagi ini.

IPOH: Dua lelaki masing-masing warga Bangladesh dan Myanmar meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, hari ini disyaki mengalami keracunan metanol.
Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming berkata kedua-dua mangsa dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital itu pada 28 April lalu selepas mengalami gejala kabur penglihatan, loya, muntah, sakit perut dan kurang sedar selepas mengambil minuman beralkohol.
“Kedua-dua lelaki itu dilaporkan dalam keadaan kritikal semasa dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia awal pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ding berkata, sampel klinikal kedua-dua kes dihantar ke makmal untuk pengesanan metanol dan keputusannya belum diterima.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian itu dan pemantauan ke atas jualan minuman beralkohol di pasaran juga akan dipertingkatkan.
Beliau berkata, keracunan metanol boleh menyebabkan gejala sakit perut, sesak nafas, kabur penglihatan, loya, muntah, pening atau sakit kepala yang teruk serta kekejangan kaki.

“Orang ramai dinasihat mengelakkan pengambilan minuman beralkohol tiruan. Sekiranya terdapat individu yang mengalami mana-mana gejala tersebut selepas pengambilan minuman beralkohol, sila dapatkan rawatan di hospital terdekat dengan kadar segera.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.