Saturday, August 24, 2019

Saya tolak tawaran jawatan kerajaan demi bebas kritik PH, kata Zunar

Zunar berkata, beliau mengkritik kerana sayang, bukannya benci dan menyifatkan tindakan memuji serta mengampu sebagai musuh.
KUALA LUMPUR: Kartunis politik, Zunar mendakwa Pakatan Harapan pernah menawarkan jawatan dalam kerajaan kepadanya, tetapi beliau menolak kerana mahu kekal bebas mengkritik pentadbiran negara.
“Sebab itu saya tidak mahu jadi sebahagian daripada kerajaan walaupun pernah ditawarkan. Apabila terlibat dalam kerajaan, ia bermakna saya gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang kartunis. Saya harus bebas mengkritik.
“Saya tidak akan benarkan mana-mana kerajaan untuk berkuasa yang begitu besar. Di Malaysia baru, tuannya adalah rakyat dan di Malaysia Baru, pekerja yang dilantik rakyat adalah pemimpin dalam kerajaan,” katanya dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque yang lantang mengkritik kerajaan Barisan Nasional dan kepimpinan bekas perdana menteri, Najib Razak kini menyasarkan penanya kepada pentadbiran Pakatan Harapan.
Beliau berikrar tidak akan kendur atau mengampu, walaupun berkawan dengan kebanyakan pemimpin PH yang kini memegang jawatan dalam Kabinet kerana menjadi tanggungjawabnya untuk mengkritik kerajaan demi kebaikan negara.
“Saya masih sokong PH, tetapi saya tidak akan mengampu. Perkara tidak betul saya tetap akan kritik. Saya kritik kerana sayang, bukannya benci. Dipuji dan mengampu itu sebenarnya yang jadi musuh.
“Hal ini kerana pemimpin jika dipuji setiap hari, mereka akan hidup di awang-awangan. Saya pula tidak akan bertindak sedemikian, mana yang tidak betul, kita wajib bangun lawan.
“Saya percaya kegagalan membentuk negara maju dan bagus sejak dahulu kerana kita tidak mahu mengkritik kerajaan. Dahulu kita memberi kuasa yang terlalu besar kepada kerajaan.
“Saya tidak akan memberi kuasa besar kepada mana-mana kerajaan, termasuklah kerajaan PH. Kita harus mengkritik dan pemimpin yang dikritik harus anggap ia sebagai perkara bagus.”
Akan terbit buku kritik PH
Zunar bercadang menerbitkan buku yang memaparkan karya ditujukan kepada pemimpin PH, selepas berjaya merampas Putrajaya daripada BN pada pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.
“Ya, memang ada. Buku-buku saya sebelum ini adalah buku lama. Saya sedang usahakan sebuah buku mengenai pentadbiran PH yang akan diterbitkan dalam tempoh sebulan atau 2 bulan lagi. Ia masih dalam proses susunan.”
Kerajaan BN mengharamkan 11 buku kartun Zunar, termasuk “Sapuman: Man of Steal” yang memaparkan karikatur Najib didakwa terbabit skandal 1MDB, tetapi pengharaman itu dibatalkan oleh kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
BN turut mengenakan sekatan keluar negara ke atasnya, selepas mengadakan pameran kartun di Geneva yang dirasmikan bekas setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Kofi Annan. Larangan itu dibatalkan pada Mei 2018.
Beliau pernah didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 selepas membuat kenyataan berbaur hasutan, tetapi dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu.
Zunar berkata, beliau tidak gentar jika episod sama – karyanya dirampas pihak berkuasa, disekat keluar negara dan dikenakan tindakan undang-undang, berulang.
Kecewa PH gagal tunai janji PRU14
Tanpa berselindung, Zunar mengakui kecewa dengan pentadbiran PH didakwa tidak mempunyai iltizam politik untuk menunaikan janji dalam manifesto PRU14.
“Kerajaan ini tidak ada hala tuju, ke mana arah mereka. Sistem pendidikan tidak tahu hala tuju, sistem kewangan negara pula tidak menyelesaikan beban rakyat, masalah harga barang masih tidak dapat ditangani.”
Beliau turut tertanya-tanya jika kebebasan lebih luas untuk berkarya yang diberikan kerajaan PH akan berkekalan kerana undang-undang dianggap menindas belum dimansuhkan.
“Kerajaan boleh katakan anda bebas mengkritik pada hari ini, tetapi undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan masih ada. Ibarat orang pegang pistol sorok di belakang badan, namun berjanji tidak akan tembak.
“Pada tahun pertama dan kedua ini, Putrajaya boleh beri kebebasan melukis, namun apakah jaminan itu boleh dipercayai selagi tidak hapuskan undang-undang ini? Kerajaan hari ini belum tercabar, apabila tercabar, mereka juga akan gunakan undang-undang.”
Fokus kritik PH
Zunar percaya kritikan hanya akan berkesan ketika pemimpin itu masih berkuasa, bukannya selepas mereka meninggalkan kerajaan.
“Kritikan yang bagus adalah kritikan terhadap orang yang berkuasa. Kritik orang yang sudah jatuh itu bukan sikap saya. Saya fokus mengkritik pemimpin yang berkuasa kerana mereka boleh menentukan dasar, manakala pemimpin yang tidak berkuasa tidak boleh menentukan apa-apa.
“Dahulu, saya kritik BN kerana BN berkuasa, sekarang ini saya kritik PH kerana PH berkuasa. Saya tidak lagi fokus kepada BN walaupun ada beberapa isu lagi yang boleh disentuh. Cabaran sebenar adalah kritik pemimpin sewaktu dia berkuasa kerana ia tindakan berisiko.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.