Thursday, January 30, 2020

Tingkat pengurusan krisis koronavirus: Surat terbuka buat PM dan Kabinet



Kehadapan Yang Berbahagia Perdana Menteri dan barisan anggota Kabinet yang dihormati,
Tahniah pada kerajaan Malaysia yang telah menghentikan pemberian visa pelancong dan menyekat kemasukan pelancong China dari Hubei dan Wuhan. Ini antara pengurusan krisis pertama untuk menyekat penyebaran koronavirus dan menenangkan rakyat jelata.
Saya secara rendah diri percaya terdapat banyak lagi yang boleh dibuat dalam pengurusan krisis terhadap wabak koronavirus ini yang kini mencatat 170 kematian dan lebih 12,000 suspek jangkitan setakat pagi ini.
Yang berbahagia PM dan Kabinet, bayangkan situasi di bawah sebagai mukadimah surat terbuka saya ini.
“Aaaah choo.”
Seorang pelancong asing dalam perjalanan ke Malaysia bersin di atas tangannya di tempat duduk dalam kapal terbang mahupun bas. Tangannya yang lembap dengan lendir terus mencapai muncung penghawa dingin di atasnya untuk melaraskan muncung itu agar hawa dingin yang dipancar menjauhi mukanya.
“Aaah choo” sekali lagi. Pelancong itu menghembuskan bersin sambil menutup mulutnya dengan tangan. Tangannya penuh dengan lendir sekali lagi, dan dia tiada tisu di tangan.
Sebelum bergegas ke tandas kapal terbang di belakang kabin atau bas, dia sempat melapkan sedikit lendir hidung yang menyelebungi seluruh tangannya di atas kusyen tempat duduk.
Sambil dia berjalan menuju ke tandas, demi mengimbangi badannya, tangannya juga secara tidak sengaja menyentuh atas kerusi penumpang lain.
Di dalam tandas, tangannya menyentuh suis pili untuk membuka air lalu dihembuskan lendir hidungnya. Lendir yang lutsinar itu serata di atas besen mencuci tangan, di dinding dan mangkuk tandas.
Selepas membersihkan tangannya, beliau bergegas keluar kembali ke tempat duduknya. Selepas dia, seorang rakyat Malaysia memasuki tandas yang sama…
Pelancong tersebut terus batuk-batuk dan bersin sehingga ke akhir penerbangan, di tandas lapangan terbang dan ketika beratur bersama beratus-ratus orang melepasi imigresen.
Dalam penerbangan seterusnya, tempat duduknya diduduki seorang rakyat Malaysia yang turut melaraskan muncung penghawa dingin di atasnya.
Bayangkan apa yang berlaku kepada warganegara Malaysia jika pelancong asing itu kemudian disahkan sebagai positif koronavirus?
Jika pelancong asing itu dapat ditahan kerana mempunyai simptom demam, itu satu perkara yang baik.
Tapi bayangkan pula jika pelancong itu berjaya melepasi saringan dan kemudian menaiki bas ataupun LRT ataupun kapal terbang domestik ke destinasinya sebelum simptom koronavirus muncul.
Bukankah ini akan mendedahkan rakyat Malaysia kepada jangkitan virus berbahaya tersebut?
Berdasarkan statistik yang dilaporkan saban hari, jumlah kematian akibat koronavirus ini terus meningkat kerana belum adanya vaksin. Apabila vaksin ada, sudah tentu jumlah kematian akibat jangkitan koronavirus ini akan terhenti.
Mari sama-sama kita berdoa agar vaksin dapat ditemui dengan kadar segera.
Tapi setakat hari ini, sebagai langkah pengurusan krisis, kerajaan perlu merancang dengan anggapan bahawa vaksin tidak akan ditemui dengan segera.
Yang berbahagia PM dan barisan Kabinet,
Adalah amat penting untuk memahamkan rakyat bahawa koronavirus ini sangat mudah disebar melalui batuk dan bersin yang penuh dengan lendir halus yang terhembus ke udara tanpa sedar.
Bayangkan kesannya pada penghawa diingin, tandas, tempat duduk, tempat pemegang tangan, butang lif di dalam lapangan terbang, teksi, hotel, bas dan kapal terbang yang terkena hembusan ini daripada pembawa virus koronavirus ini?
Berita bahawa seorang warga Jepun dan Jerman yang dijangkiti virus koronavirus secara tempatan dengan hanya mempunyai interaksi dengan pelancong yang terkena jangkitan dari China perlu dijadikan isyarat kepada kerajaan supaya meningkatkan tahap pengurusan krisis dalam menghadapi wabak ini.
Berita itu bermakna kerajaan perlu bersedia bila-bila sahaja untuk menghadapi keadaan di mana rakyat Malaysia pun akan terkena jangkitan ini ekoran 7 pelancong China telah dikesan terjangkit koronavirus di negara ini dan 10 kes di negara jiran Singapura.
Mengapa? Ini kerana pelancong yang terjangkit ini semestinya datang melalui kapal terbang ataupun bas melalui Singapura. Ini bermakna mereka pernah berinteraksi dengan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air.
Jikalau mereka menaiki kapal terbang, kerajaan masih mampu lagi mengesan siapa rakyat yang menaiki pesawat yang sama dan mencari mereka secepat mungkin.
Jika boleh, mereka terpaksa dikuarantin kerana jika interaksi mereka luas dengan rakyat yang lain, maka lebih besar risikonya jangkitan ini akan berleluasa, terutamanya kepada ahli keluarga dan rakan sekerja.
Tapi jika pelancong yang terjangkit itu berjaya menaiki bas, feri atau LRT yang penuh sesak, mustahil untuk kerajaan mengenal pasti rakyat yang pernah berinteraksi dengan mereka secara dekat.
Oleh itu, Yang Berbahagia PM dan barisan Kabinet, kita sekarang boleh memahami mengapa Russia (jiran China), Jepun, Korea, Hong Kong, Taiwan dan sebagainya mengambil langkah drastik untuk terus menutup kemasukan warga China ke negaranya.
Tujuan utama ialah untuk mengurangkan risiko luar ada pembawa baru membawa koronavirus ini kepada negara mereka. Ini kerana setiap pelancong yang datang perlu berinteraksi dengan manusia lain sepanjang perjalanan mereka.
Apabila adanya interaksi, ini bermakna adanya risiko virus ini akan berjangkit.
Begitu juga dengan tindakan Australia yang mencadangkan agar Christmas Island yang terletak jauh dari benua itu dijadikan tempat kuarantin mereka yang baru pulang dari China. Tujuannya sama iaitu mengurangkan interaksi antara mereka yang berkemungkinan dijangkiti koronavirus tapi masih belum menunjukkan simptom dengan mereka yang sihat.
Seperti negara lain, mungkin lebih baik jika Malaysia juga dapat mencontohi mereka dalam menyekat kemasukan pelancong China secara total untuk sementara waktu demi mengurangkan risiko kemasukan koronavirus ini dari luar.
Tempoh sekatan ini juga dapat dimanfaatkan sebagai tempoh pemerhatian domestik untuk memastikan tiada kes jangkitan manusia-ke-manusia antara pelancong China yang telah terjangkit di Malaysia kepada rakyat Malaysia.
Sekiranya ada, penularan ini akan menjadi lebih mudah dikesan dan dikawal kerana yang ada hanyalah jangkitan domestik kerana kemasukan pelancong China berisiko tinggi yang baru telah dihentikan.
Pendekatan kerajaan untuk tidak menimbulkan panik dalam keadaan ini ada positifnya. Ini bermakna rakyat akan meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa risau keterlaluan.
Tapi ini juga bermakna akan kurangnya orang yang memakai topeng pernafasan sebagai langkah berjaga-jaga, wujudnya golongan yang tidak peka terhadap wabak ini dan mereka yang terkena wabak itu menganggapnya sebagai demam biasa.
Yang berbahagia PM dan barisan Kabinet,
Pada waktu sebegini, untuk pengurusan krisis, mungkin ada baiknya kerajaan menaikkan suhu panik rakyat Malaysia terhadap wabak ini.
Ini kerana apabila rakyat panik, kesedaran sivik rakyat akan meningkat seperti mengambil tindakan menjaga diri sendiri seperti mencuci tangan dengan betul, memakai topeng pernafasan sentiasa dan memastikan anak-anak juga memakainya, menjauhi kawasan tempat orang ramai, mengurangkan aktiviti luar rumah dan juga bertindak menasihati orang yang sakit untuk terus ke hospital.
Sekolah juga boleh mengambil tindakan drastik untuk tidak membenarkan mana-mana pelajar yang sakit berada di sekolah sehingga ia sembuh sepenuhnya. Kesemua ini sebenarnya membantu kerajaan membendung wabak daripada merebak tanpa kawalan.
Selain itu, dalam pengurusan krisis, kerajaan perlu bersedia menghadapi situasi terburuk dengan mengandaikan bahawa wabak ini akan merebak secara mendadak.
Sesungguhnya resipi pengurusan krisis yang paling berkesan terhadap wabak ini tidak lain tidak bukan ialah mencegah dengan menyediakan persediaan yang cukup untuk mengesan lebih awal agar kuarantin dapat dilakukan sebelum ia merebak.
Oleh itu, sebelum wabak ini merebak (dengan anggapan ia akan merebak), kerajaan perlu memperbanyakkan pusat kuarantin sebagai persediaan jika jumlah pesakit naik mendadak selepas 2 minggu apabila koronavirus mula menunjukkan taringnya terhadap rakyat Malaysia yang pernah berinteraksi dengan warga China yang terjangkit.
Bangunan kosong yang tidak digunakan boleh diubah suai mulai sekarang dan dijadikan tapak kuarantin kerana hospital yang penuh dengan pesakit lain tidak sesuai dijadikan tempat kuarantin sekiranya wabak ini merebak.
Langkah Australia mengasingkan suspek pembawa koronavirus di satu pulau juga boleh dicontohi memandangkan Malaysia mempunyai banyak pulau yang boleh digunakan.
Yang berbahagia PM dan barisan Kabinet.
Perlu dinyatakan, saya bukanlah seorang doktor. Saya cuma seorang rakyat biasa yang ingin membantu. Saya mohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap di dalam tulisan ini.
Mari kita sama-sama mendoakan dan mengharapkan tiada rakyat Malaysia yang akan terkena wabak ini dan semoga kerajaan dapat meningkatkan lagi tahap kecemasan pengurusan krisis terhadap wabak koronavirus ini.
Negara China dan lain-lain tidak akan mengambil tindakan drastik yang merugikan ekonomi mereka dengan sekatan ke atas rakyat sendiri dan pelancong China sekiranya virus ini tidak berbahaya.
Kepada rakyat Malaysia, ingatlah langkah pengurusan krisis yang terpaksa diambil oleh kerajaan adalah demi kesenangan dan kesihatan rakyat di masa depan.
Terima kasih kerana membaca. - FMT

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.