Wednesday, April 29, 2020

Baiki paip bocor, penghawa dingin boleh terus tanpa kelulusan Miti, kata menteri

Menteri Kanan Infrastruktur Fadillah Yusof berkata, khidmat membaiki paip bocor dan penghawa dingin boleh diteruskan dalam tempoh penguatkuasaan PKP.
PETALING JAYA: Menteri Kanan Infrastruktur, Fadillah Yusof berkata, kontraktor kecil yang tidak daftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) seperti khidmat membaiki paip bocor dan penghawa dingin boleh diteruskan dalam tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Beliau berkata, bagaimanapun tuan rumah perlu memohon dan memaklumkan kepada balai polis berdekatan sebelum perkhidmatan itu dijalankan.
“Dicadangkan kalau ada kerja sedemikian, tuan rumah boleh memohon daripada balai polis berdekatan dan maklum kepada polis.
“Senaraikan nama kontraktor dan alamat perhubungan kontraktor yang akan datang dan berapa ramai pekerja dan sebagainya.
“Ini boleh diteruskan melalui proses ini (kebenaran polis) dan tak perlu (mohon) kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk kerja kecil macam itu,” katanya dalam program Bual Bicara Naratif di TV1 malam ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 10 April lepas berkata, kerajaan bersetuju beberapa sektor ekonomi terpilih dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.
Pada hari yang sama, Miti berkata, industri lain yang turut dibenarkan beroperasi ialah mesin dan peralatan, industri aeroangkasa dan perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang terhad kepada guaman, minyak & gas dan aktiviti berkaitan Covid-19. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.