Monday, June 1, 2020

Apakah Kerajaan Akan Berubah Lagi?

DATO’ MUSTAFA ALI – HARAKAHDAILY
SAYA merasa terpanggil untuk membuat sedikit pencerahan mengenai situasi politik sekarang kerana terlalu banyak desas-desus spekulasi dan dakwaan yang ditularkan ke tengah masyarakat sehingga rakyat menjadi keliru.
Pertanyaan-pertanyaan seperti: Betul ke pembangkang sudah mempunyai majoriti dalam Parlimen berdasarkan SD terkini? SD ialah Statutory Declaration atau Sumpah Berkanun… dan pembangkang sedang menunggu perkenan Agong untuk menyembahkan SD tersebut.
Pencerahan pertama, berdasarkan suasana peraturan, undang-undang dan Perlembagaan adalah tidak mungkin akan berlaku perubahan Kerajaan seperti yang berlaku baru-baru ini. Apa yang berlaku baru-baru ini ialah Agong telah menggunakan kuasanya yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan budi bicaranya melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) sebagai Perdana Menteri (PM) dalam keadaan negara tidak ada Kerajaan setelah Tun Mahathir meletakkan jawatan.
Sekarang kerajaan sudah wujud dengan dipimpin oleh TSMY dan telah dibuktikan mempunyai majoriti dalam sidang Parlimen 18 Mei yang lalu. Desas-desus dan spekulasi yang berlaku sekarang adalah semata-mata psy-war atau perang saraf yang dilakukan oleh pihak yang berkepentingan.
Kedua, petunjuk atau indikator paling awal mengenai kedudukan Kerajaan ialah sidang Parlimen bulan Julai yang akan datang. Bila Parlimen bersidang setiap MP mesti menyatakan dengan jelas kepada urusetia Parlimen pendiriannya sama ada bersama Kerajaan atau pembangkang. Susunan tempat duduk (seating arrangement) dalam Parlimen akan menunjukkan dengan jelas berapa ramai penyokong Kerajaan dan berapa ramai pembangkang. Inilah petanda paling awal. Secara tegas sebelum sidang Parlimen bulan Julai tidak akan berlaku perubahan kerajaan.
Apa yang boleh dilakukan oleh pembangkang ialah mengusulkan Undi Tidak Percaya kepada Kerajaan di dalam Parlimen. Di sinilah pertarungan sebenar dalam menentukan kedudukan kerajaan sama ada Kerajaan yang ada ini akan kekal atau tidak, tidak sebelum itu. Usul Undi Tidak Percaya ini ada proses dan prosedurnya yang tersendiri dalam Parlimen.
Speaker mempunyai peranan penting di sini sama ada menerima atau tidak Usul ini untuk dibahaskan, bila akan dibahaskan. Sekalipun diterima untuk dibahaskan ia tidak boleh mendahului urusan kerajaan. Maknanya urusan atau agenda yang dibawa oleh kerajaan mestilah diselesaikan lebih dulu dalam masa sidang Dewan yang ditetapkan.
Inilah senario yang ada di hadapan kita. Sekali lagi kita kena menunggu untuk melihat episod seterusnya. Semoga sedikit pencerahan yang diberi dapat membantu saudara semua memahami pergolakan politik negara.
Salam hormat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.