Thursday, July 23, 2020

Covid-19: Agong mahu rakyat tidak alpa, terus patuhi SOP

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kejayaan semua pihak, khususnya barisan petugas hadapan dalam mengawal penularan wabak Covid-19 tidak akan bermakna jika negara menghadapi gelombang ke-2 virus itu dan pelaksanaan semula PKP boleh memberi kesan ke atas keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta ekonomi.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menggesa rakyat supaya tidak bersikap sambil lewa dan alpa dengan arahan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Agong turut menzahirkan kegusaran berikutan peningkatan kes baru Covid-19 kepada 2 angka dan kewujudan beberapa kluster baru wabak itu.
“Sultan Abdullah menggesa rakyat supaya tidak hilang fokus dan sentiasa berwaspada serta berdisiplin dalam memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi SOP, termasuk perintah kuarantin dan amalan kebiasaan baru.
“Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat tentang kejayaan kerajaan, Kementerian Kesihatan (KKM) serta agensi berkaitan, khususnya barisan petugas hadapan dalam mengawal penularan wabak Covid-19.
“Usaha ini tidak bermakna jika negara menghadapi gelombang ke-2 dan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) yang boleh memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Agong turut menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku peningkatan kes demam denggi di Malaysia jika rakyat mengambil sikap sambil lewa dan tidak memandang serius ancaman nyamuk Aedes.
Ahmad Fadil berkata, Sultan abdullah mahu rakyat lebih peka dan mengambil perhatian serius terhadap ancaman nyamuk Aedes serta langkah pencegahan untuk mengurangkan peningkatan kes demam denggi.
“Sultan Abdullah menyeru rakyat untuk terus melaksanakan langkah pencegahan disarankan KKM dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan rumah dan kawasan persekitaraan bersih serta bebas daripada habitat pembiakan nyamuk Aedes.
Ahmad Fadil berkata, Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa kejayaan membendung wabak Covid-19 dan membanteras ancaman demam denggi adalah usaha kolektif kerajaan dan seluruh lapisan rakyat tanpa mengira pelbagai latar belakang.
Agong turut menitahkan seluruh rakyat berdoa supaya situasi wabak Covid-19 dan demam denggi di negara ini dapat dikawal serta dibendung dengan berkesan dan Malaysia sentiasa di bawah rahmat dan lindungan-Nya.- FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.