Monday, August 31, 2020

Semoga sambutan Hari Kebangsaan 2021 lebih baik



Harapan supaya perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) berakhir pada sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini tidak tercapai apabila Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa ia dilanjutkan hingga 31 Disember ini.
Keadaan ancaman Covid-19 masih belum reda dengan timbulnya kluster baru, malah ada tempat yang dikenakankan PKP diperketatkan (PKPD).
Jadi bukan saja sambutan Hari Kebangsaan tidak dapat diseiringkan dengan kegembiraan berakhirnya PKP, tetapi norma baru perlu dimantapkan lagi sehingga habis tahun 2020.
Maknanya, tahun ini adalah sepanjangnya suram dengan harapan bahawa 2021 akan menjadi lebih baik. Semoga sambutan tahun depan akan lebih baik daripada tahun ini.
Tetapi apa yang menjadikan sambutan Hari Kebangsaan 2020 muram bukan hanya soal Covid-19 yang merupakan wabak terburuk dalam sejarah negara sejak kemerdekaan, tetapi juga soal pergolakan politik dan ekonomi yang turut berlaku serentak.
Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 ketika Darurat masih lagi berlangsung dan penduduk rakyat negara ini berada dalam kesusahan dengan pergerakan mereka terhad, serta sebahagian daripadanya ditempatkan di kawasan kawalan dengan apa yang dinamakan sebagai kampung baru.
Keadaan PKP hari ini tidaklah seburuk Darurat kerana peperangan serta ancaman kepada keselamatan adalah lebih mencabar daripada melawan wabak penyakit.
Sudut bahayanya berbeza, tetapi peperangan tidak boleh disamakan dengan ancaman wabak.
Ketika sambutan Hari Kemerdekaan pertama, iaitu pada tahun 1958, Darurat masih berlangsung walaupun kebanyakan militan Parti Komunis Malaya (PKM) telah berpindah ke Thailand Selatan.
Walaupun pada tahun 1959, Darurat belum diisytiharkan tamat, tetapi Tanah Melayu sudah berupaya mengadakan pilihan raya umum pertama selepas kemerdekaan.
Buat pertama kalinya, kerajaan Tanah Melayu mendapat mandat rakyat daripada warga negara merdeka. Perikatan menang besar dan menguasai semua negeri, kecuali Kelantan dan Terengganu yang dikuasai oleh PAS. Tetapi kemudian kerajaan PAS Terengganu tumbang dan jatuh pada Perikatan.
Sambutan Hari Kemerdekaan tahun 1960 amat menggembirakan bagi rakyat Tanah Melayu kerana Darurat diisytiharkan berakhir dan suasananya ialah azam rakyat untuk membina sebuah negara baru yang maju dan makmur.
Pada tahun itu juga Tanah Melayu menghantar tentera pasukannya ke Congo sebagai pasukan pendamai dan sumbangannya kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Sungguhpun Tanah Melayu berada dalam keadaan selamat dan aman ketika sambutan Hari Kemerdekaan tahun 1961, rantau Asia Tenggara berada di tengah-tengah ketegangan politik Perang Dingin antara kuasa besar Amerika Syarikat dan Soviet Union.
Paling utama adalah perang di Indochina antara Vietnam Utara yang didokong oleh Soviet dan Vietnam Selatan yang dibantu Amerika.
Turut mengancam ialah pengaruh besar Parti Komunis Indonesia (PKI) ke atas pemerintahan Sukarno yang membawa negara itu menjadi sekutu Soviet dan China.
Dalam pada itu kumpulan gerila komunis juga aktif di Thailand dan Filipina. Tetapi hampir di Tanah Melayu ialah Singapura. Pulau itu mempunyai gerakan komunis bawah tanah yang memberi ancaman.
Jadi ketika Tanah Melayu menyambut Hari Kemerdekaan pada tahun 1962, gagasan Malaysia sudah dikemukakan, antara lain bagi tujuan menghalang teori domino kemaraan komunis di rantau ini.
Hari Kemerdekaan tahun 1963 adalah yang terakhir disambut oleh Persekutuan Tanah Melayu kerana Malaysia ditubuhkan pada 16 September tahun itu dengan gabungan bersama Singapura, Sarawak dan Sabah.
Maka Hari Kebangsaan pada tahun 1964 adalah buat pertama kali Malaysia menyambut dengan semangat dan azam baru sebagai sebuah negara lebih besar daripada Tanah Melayu.
Malaysia berjaya ditubuhkan walaupun Indonesia melancarkan Konfrontasi dan blok Soviet menolak penubuhannya. Sementara Filipina pula menuntut sebahagian daripada Sabah.
Tetapi pada Hari Kebangsaan tahun 1965, Malaysia menyambutnya tanpa Singapura. Agak terganggu juga dengan keluarnya Singapura dan usaha perlu diteruskan supaya projek Malaysia dapat dipertahankan dengan wilayah yang ada, Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah.
Tetapi tahun itu menyaksikan kejatuhan Sukarno dan PKI di Indonesia yang membawa kepada berakhirnya Konfrontasi.
Maka sambutan Hari Kebangsaan tahun 1966 memberi semangat baru pada Malaysia dalam rantau yang lebih selamat. Malaysia, Indonesia dan Singapura menjadi asas rantau Asia Tenggara yang berjaya menahan kemaraan komunis.
Menjelang Hari Kebangsaan tahun 1967, persiapan dilakukan untuk sambutan besar-besaran. Ini kerana ia merupakan sambutan 10 tahun kemerdekaan. Pelbagai acara dirancang dan diadakan dengan persembahan pertunjukan bunga api di Lake Garden. Penulis turut hadir.
Tetapi ada sesuatu yang tidak kena mula dirasakan sedang melanda negara pada tahun 1968.
Maka ketika negara menyambut Hari Kebangsaan pada tahun itu, suasana tidak puas hati dalam kalangan rakyat berlainan kaum mula terasa menjelang pilihan raya umum tahun 1969.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun 1969 tidak menggembirakan, negara dilanda Peristiwa 13 Mei dan pentadbiran diletakkan di bawah Majlis Gerakan Negara (Mageran).
Dalam sambutan Hari Kebangsaan tahun 1970, penekanan adalah pada perpaduan kaum dan muhibah. Negara bangkit balik untuk pemulihan dengan semangat baharu yang sampai kemuncaknya pada sambutan Hari Kebangsaan tahun 1974 ekoran kemenangan besar Barisan Nasional.
Dari tahun 1975 sehingga 2017, sambutan Hari Kebangsaan disambut meriah dengan negara maju tahun demi tahun. Ia sudah menjadi acara rutin setiap tahun sehinggalah pilihan raya umum ke-14 apabila Barisan Nasional kalah.
Maka buat pertama kalinya sambutan Hari Kebangsaan iaitu pada tahun 2018, negara ditadbir oleh gabungan parti yang dahulunya adalah pembangkang iaitu Pakatan Harapan.
Kerajaan Pakatan Harapan memberi pembukaan baru bagi negara. Harapan tinggi rakyat supaya negara dapat dibina semula dengan gagasan Malaysia Baru. Tetapi kerajaan baru ini diasak oleh pembangkang yang menggunakan sentimen kaum dan agama.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun 2019 yang menyaksikan Dr Mahathir Mohamad sebagai negarawan ulung berusia 90-an masih tetap memberi harapan bahawa negara ini akan menjadi lebih baik.
Walaupun Wawasan 2020 tidak dapat dicapai, tetapi usaha bagi kemakmuran bersama tetap digubal, dirancang dan mahu dilaksanakan.
Masuk tahun 2020, semua harapan itu berkecai. Covid-19 sampai ke Malaysia diikuti dengan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan. PKP dilaksanakan hingga ketika sambutan Hari Kebangsaan, ia diteruskan sebagai PKPP sehingga Disember ini.
Itupun tidak dapat dijangka apakah yang akan berlaku pada 2021. Belum ada kepastian mengenai vaksin dan pemulihan ekonomi juga tidak jelas, bukan saja bagi Malaysia, tetapi di seluruh dunia.
Keadaan politik Malaysia akan terus bergolak memasuki tahun 2021, sama ada akan diadakan PRU-15 lebih awal atau tidak. Cuma diharapkam sambutan Hari Kebangsaan pada tahun 2021 adalah lebih baik.
Akhirnya perjalanan sejarah berlaku dengan seseorang manusia tidak dapat mencorakkan apakah yang akan berlaku. Keputusan boleh dibuat, tindakan dilaksanakan, tetapi hasilnya adalah di luar jangkaan dan harapan seseorang. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.