Sunday, September 6, 2020

Kenyataan Khairuddin berkait pusat hiburan mendiskriminasi penggiat seni, kata NGO kesenian Sabah

Presiden Pertubuhan Orang Seni Tempatan Sabah, Janrywine J Lusin (kiri) berkata, kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali mengenai pusat hiburan adalah driskiminasi ke atas penggiat sendiri.
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Orang Seni Tempatan Sabah (POST’s), Janrywine J Lusin menyifatkan kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali mengenai pusat hiburan sebagai tidak adil.
Katanya, kenyataan Khairuddin yang mengaitkan anak seni, khususnya penghibur dan pemuzik dengan gejala pemandu dilihat mendriskiminasi golongan itu.
“Ilmu muzik yang dipelajari sehingga ke menara gading bukanlah semata-mata dihadkan kepada bentuk hiburan persembahan seperti konsert atau acara keramaian sahaja.
“Sebaliknya anak seni turut meneroka cabang kesenian baru, termasuklah bermain muzik di pusat hiburan, selain membuka kelas muzik atau aktiviti hiburan di tempat tumpuan umum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Janrywine berkata, kenyataan Khairuddin di Facebook itu sangat tersasar jauh daripada yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berhubung pusat hiburan yang belum dibenarkan beroperasi.
“Muhyiddin memutuskan penutupan itu adalah bagi tujuan mengekang penularan virus Covid-19 yang dilihat sukar dibendung di premis seumpama itu sehinggalah pada 31 Disember 2020.
“Namun apa yang dikongsikan dalam hantaran Facebook Khairuddin pada 8 September jelas mempersenda dan menghina bakat seni di negara ini.
“Mengaitkan pusat hiburan dengan gejala mabuk telah mengguris sensitiviti aktivis seni yang mencari sesuap nasi.
“Kenyataan beliau seakan mahu menutup mata pencarian mereka yang sudah sedia sempit ekoran pandemic Covid-19 ketika ini,” katanya.
Beliau berkata, di Sabah sahaja puluhan ribu malah mungkin mencapai ratusan ribu terbabit sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam bidang hiburan sebagai perniagaan, pekerjaan dan sumber mata pencarian di pusat hiburan seperti karaoke serta kelab malam.
Katanya, gejala mabuk tertakluk kepada keputusan pelanggan yang datang ke pusat hiburan, bukannya bergantung pada penggiat seni yang mencari rezeki.
“Lagipun bukan semua pusat hiburan boleh dilabel sebagai tempat berpesta sehingga mabuk. Berhibur di rumah seperti disarankan Khairuddin boleh juga berlaku gejala mabuk seperti pesta liar persendirian yang kerap diserbu pihak berkuasa, bukan di premis hiburan sahaja.
“Sesebuah premis hiburan seumpama ini pasti akan cuba mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak daripada dikompaun atau diarahkan tutup.
“Benarlah seperti yang saya nyatakan sebelum ini iaitu penggiat seni di negara ini kerap dilihat sebagai ‘pemain bangku simpanan’ dan kerap dianaktiri dalam menjana pembangunan dan ekonomi negara,” katanya.
Terdahulu menerusi hantaran di Facebook, Khairuddin menyokong kenyataan Muhyiddin yang belum membenarkan pusat hiburan dan kelab malam dibuka.
Bagaimanapun, beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, adalah lebih baik pusat hiburan ditutup buat selama-lamanya kerana ia hanya akan mengundang gejala mabuk.
“Tidak perlu berpesta sehingga mabuk lalu menimbulkan permasalahan.
“Ramai yang tidak bersetuju, ikutlah suara ramai sebagai suara demokrasi majoriti,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.