Friday, November 6, 2020

Kisah hasrat darurat dan tangguh pilihan raya

 

Akhirnya ada menteri mengakui apa yang ramai sudah tahu. Bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lalu antara punca (malah ada yang kata punca utama) meningkatnya kes Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Redzuan Md Yusof, beritahu Dewan Rakyat tempoh hari tidak dapat dinafikan pilihan raya, termasuk PRN Sabah pada September yang membabitkan perhimpunan besar, “telah mengakibatkan lonjakan kes Covid-19 di negara ini”.

Pengakuan itu disuarakan ketika Redzuan mencadangkan “akta tertentu” diwujudkan bagi menangguhkan pilihan raya “apabila negara berdepan krisis terutama membabitkan aspek kesihatatan seperti penularan wabak Covid-19”.

Penangguhan pilihan raya ketika negara dalam krisis sememangnya langkah wajar. Dalam keadaan wabak Covid-19 masa kini tiada siapa yang mahu pilihan raya (kecil atau umum) diadakan. Sebabnya jelas iaitu risiko amat tinggi.

Cuma yang menjadi persoalan, cara pilihan raya boleh ditangguhkan.

Bagi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan beberapa orang kuatnya, caranya ialah dengan pengisytiharan darurat. Ini kita semua sudah maklum. Kita juga maklum Yang di-Pertuan Agong menolak permintaan Muhyiddin supaya darurat diisytiharkan .

Kini muncul Redzuan dengan cadangan “akta tertentu” digubal. Untuk berlaku adil, perlu ditegaskan kita tidak tahu rupa bentuk “akta tertentu” yang dimaksudkan. Kita tidak tahu kerana Redzuan tidak (atau belum) memberi perinciannya.

Lantas saya tidak dapat elak bertanya adakah ini “a classic case of” atau contoh klasik “sama tapi tak serupa”? Tujuannya sama iaitu menangguh pilihan raya. Jadi adakah “akta tertentu” ini juga “seakan-akan” pengisytiharan darurat?

Menurut pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann, perundangan baru untuk membolehkan pilihan raya ditangguh atau digantung tidak diperlukan kerana “ia akan jadi satu lagi perundangan bagi ahli politik untuk terus berkuasa demi mengelakkan satu lagi kekalahan pilihan raya”.

Beliau bimbang perundangan yang menangguhkan pilihan raya “boleh disalahguna oleh ahli politik untuk mengelak dikalahkan ketika populariti mereka sedang menurun”.

Pun begitu dalam keadaan cemas yang benar-benar memerlukan pilhan raya ditangguhkan, Fann berpendapat sebagai satu keaedah “pelindung”, cadangan menangguh pilihan raya mesti dibawa ke Dewan Rakyat untuk mendapat sokongan 2/3 ahli Dewan.

Penganalis politik Oh Ei Sun beritahu saya jika perundangan yang dicadangkan Redzuan adalah untuk mengurangkan pendedahan orang ramai terhadap wabak Covid-19, ia boleh mendapat sokongan semua pihak di Dewan Rakyat. Dalam erti kata lain “bipartisan support”.

“Tetapi untuk ia mendapat sokongan dwipartisan, ia mesti digubal dengan teliti agar pemerintah tidak menikmati kelebihan besar berbanding pembangkang. Contoh prosedur operasi standard (SOP) mesti sama buat semua ahli politik,” kata beliau.

Apa pun Muhyiddin masih berpegang pada pendirian bahawa hanya darurat satu-satunya cara menangguh pilihan raya. Dilihat pada satu sudut lain, beliau seolah-olah “cenderung” darurat diisytiharkan.

Dalam perutusannya di televisyen baru-baru ini perdana menteri berkata Pilihan Raya Kecil Batu Sapi di Sabah yang dijadual Disember ini dan PRN Sarawak tahun depan tidak dapat dielakkan melainkan darurat diisytihar.

Darurat antara lain akan menyaksikan Parlimen digantung, kerajaan “digantikan” dengan majlis keseleamantan negara yang lazimnya kesinambungan kerajaan sedia ada manakala perdana menteri selaku ketua majlis keselamatan mempunyai kuasa menyeluruh.

Muhyiddin menegaskan pada pandangan beliau pilihan raya tidak diadakan sekarang kerana kes Covid-91 meningkat. Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan pimpinannya berpegang kepada Perlembagaan yang memperuntukkan pilihan raya diadakan dan tidak punya kuasa menghentikan proses demokrasi.

“Oleh itu kami tidak boleh menangguh pilihan raya selagi darurat tidak diisytihar,” kata Muhyiddin.

Namun beberapa hari selepas membuat kenyataan itu, Muhyiddin membuat posting di Facebook menyatakan beliau meminta pihak berkuasa berkaitan mengkaji aspek perundangan tentang kemungkinan menangguh PRK Batu Sapi sehingga tamat wabak Covid-19.

Tetapi berdasarkan hujah beliau sebelum ini mengenai peruntukkan Perlembagaan, apa aspek perundangan yang boleh dikaji untuk menangguh PRK Batu Sapi jika Perlembangaan sudah sememangnya jelas pilihan raya tidak boleh ditangguh melainkan darurat diisytihar?

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dipetik media 3 Nov lalu sebagai berkata kerajaan tidak ada rancangan meminda Perlembagaan untuk menangguh pilihan raya pada waktu wabak Covid-19.

Takiyuddin seperti kita tahu ialah menteri parlimen dan undang-undang. Kata beliau, menggubal perundangan untuk tangguh pilihan raya bertentangan dengan Perlembangaan, undang-undang tertinggi di negara ini.

Bagaimanapun, menurut Takiyuddin, kerajaan mungkin mencadang pilihan raya ditangguh jika keadaan wabak yang melanda ini diisytihar situasi darurat.

Balik kepada soal darurat nampaknya.

Memerangi Covid-19 semangnya matlamat kerajaan. Itu tidak dinafikan. Boleh saya simpulkan darurat pula tidak pernah lekang daripada hasrat kerajaan? Untuk mencapai matlamat perangi Covid-19 kata kerajaan. Pembangkang pula meragui itu matlamat sebenar. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.