Friday, November 6, 2020

Sekolah Sabah bawa kelegaan kepada murid, keluarga yang perlu makanan

 

Guru besar SK St Peter, Pauline Gusup (kiri), dan guru, Nurul Huda Mostapa, menunjukkan barang dalam bank makanan mereka.

KOTA KINABALU: Sebuah bank makanan yang dimulakan oleh sebuah sekolah rendah untuk memberi makanan kepada murid daripada keluarga berpendapatan rendah yang terkesan dengan pandemik Covid-19 disambut baik sekali.

SK St Peter, di daerah Kudat, memulakan inisiatif itu pada Oktober dengan meletakkan barang keperluan harian, seperti beras, tepung, dan susu pada kabinet.

Rak makanan itu ditempatkan di luar sekolah berdekatan pondok pengawal supaya murid atau keluarga mereka boleh mengambil dengan mudah.

“Inisiatif itu satu cara untuk membantu murid kami dan keluarga mereka yang terkesan dengan pandemik, tetapi kemudiannya kami letak rak berkenaan di luar sekolah supaya sesiapa pun boleh ambil apa yang mereka perlukan,” kata Guru Besar Gauline Gusup kepada FMT.

Kebanyakan murid daripada keluarga miskin yang terkesan dengan pandemik dan sekatan pergerakan.

Sekolah terbabit terletak berhampiran laut dan dikelilingi kawasan kediaman dan berdekatan beberapa kampung, termasuk 3 penempatan di Kudat yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“Kami mula dengan hanya meletakkan 5 kumpulan barang makanan pada pagi tetapi habis diambil dengan cepat sekali walaupun belum 3 petang, jadi kami perlu isi lagi.

“Kami dapat ilhan daripada sekolah lain yang membekalkan makanan percuma seperti roti atau nasi lemak, cuma bezanya kami bekalkan makanan kering,” katanya.

Program berkenaan adalah buah fikiran Gusup dan seorang guru, Nurul Huda Mostapa, dan ia direalisasikan selepas mereka berjaya mengutip RM200 dalam kalangan guru untuk membeli barang makanan.

Gusup kemudiannya melantik Nurul Huda sebagai penyelaras dan membenarkan beliau menulis tentang inisiatif itu di media sosial.

“Ia tular dengan cepat sekali dan kami menerima lebih banyak derma dan sumbangan daripada individu dan agensi. Ia membolehkan kami membeli lebih banyak makanan untuk membantu mereka yang memerlukan,” kata Gusup.

Apabila program itu berjalan sepenuhnya, ia diangkat sebagai projek sekolah. “Saya beritahu kakitangan saya bahawa kami tidak perlu tunggu kaya untuk membantu orang.

“Saya memetik pesanan ini untuk mendorong mereka: ‘Apabila kami nampak golongan miskin diuji kerana tiada makanan, sebenarnya kita diuji untuk membantu mereka’.”

“Jadi, ini sumbangan kecil kami untuk sedaya upaya membantu orang. Kami akan meneruskan program bank makanan ini selagi ia ada sumbangan,” katanya dan menambah masyarakat juga boleh menyumbang makanan dan duit.

Guru Besar Pauline Gusup dan penyelaras, Nurul Huda Mostapa, memberi hamper makanan kepada seorang penduduk.

Nurul Huda berkata kebanyakan muridnya mempunyai ibu bapa yang bergantung pada upah harian, terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan atau nelayan.

“Mereka hanya cukup-cukup sebelum kawalan pergerakan berkuatkuasa. Sebab itu kita ambil peluang ini untuk membantu mereka,” katanya.

Nurul Huda berkata Gusup juga mahu sekolah menggunakan sumbangan untuk menyediakan bakul makanan kepada murid miskin dan keluarga mereka yang mungkin tidak dapat memanfaatkan bank makanan secara langsung.

Beliau berkata guru sedaya upaya mengesan keluarga yang tidak bernasib baik dan menghubungi mereka untuk menghulur bantuan.

Tetapi fasa ke-2 projek itu, iaitu mengedar bakul makanan kepada kumpulan sasaran, terganggu apabila 3 perkampungan berdekatan, iaitu Kampung Pangaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang, kena PKPB.

Mengenang kembali, Nurul Huda berkata pada satu ketika semasa permulaan projek, beliau bimbang ia akan berakhir berikutan duit habis dibelanjakan.

“Saya bimbang kerana hanya ada RM19 selepas beli barang makanan…apabila yang kita boleh buat dengan duit banyak itu?”

Namun, dengan sumbangan daripada guru, rakan, agensi dan individu lain termasuk ahli politik, beliau berkata bank makanan itu dapat dilanjutkan sehingga pertengahan bulan.

“Kami tak terfikir akan dapat meneruskan pelan ini selama tempoh yang panjang, dan ia boleh dilakukan kerana sumbangan yang kami amat berterima kasih,” katanya.

Anda boleh memberi sumbangan kepada projek bank makanan SK St Peter, Kudat dengan menghubungi 013-375 5787 atau menderma secara langsung kepada akaun Maybank 1060 3431 9356 dan menyatakan “bank makanan” sebagai rujukan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.