Thursday, December 31, 2020

A SPECIAL NEW YEAR MESSAGE FROM MY GOOD FRIEND ZAID IBRAHIM

  Here is Zaid Ibrahim's new year message taken from his Facebook page here




Menjelang 2021 Oleh Datuk Zaid Ibrahim

1. Dua puluh tahun dahulu, pemimpin Malaysia berangan-angan besar, lalu mengisytiharkan kepada dunia Malaysia akan menjadi negara maju dalam tahun 2020. Saya turut bangga dan menaruh harapan impian ini tercapai, walaupun dalam hati kecil tertanya-tanya sama ada dengan usia mencecah 70 tahun, apakah saya dapat menjadi saksi kepada fenomena Malaysia negara maju ini.

2. Alhamdullilah, saya masih sihat pada hari ini, tetapi Malaysia jauh dari menjadi negara maju. Malah, ia sekarang menjadi sebuah negara cacamarba, tanpa identiti dan telah menunjuk ciri-ciri “split personality” yang sangat membimbangkan.

3. Apa sudah berlaku kepada sistem demokrasi yang kita harap-harapkan menjadi teras pentadbiran negara? Wakil rakyat boleh melompat parti bila-bila masa tanpa rasa bersalah dan malu. Kita habiskan hampir RM900 juta untuk mengadakan pilihan raya umum pada 2018, tetapi wakil rakyat boleh tukar parti dan kedudukan kerajaan sewenang-wenangnya.

4. Bila saya cadangkan pada tahun 2008 supaya melompat parti diharamkan, tiada siapa yang menyokong kecuali Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bahkan, hari ini pun tiada siapa dari parti besar yang mahu “lompat parti diharamkan. Lalu berlakulah fenomena Surat Sumpah untuk menunjukkan sokongan kepada siapa yang berharap untuk menjadi ketua.

5. Dari Westminster Democracy kita telah tiba ke tahap Surat Sumpah Demokrasi dalam sekelip mata.

6. Semua negara maju menerima dan mempraktikkan nilai yang sama seperti ketelusan, bertanggungjawab, menonjolkan pimpinan yang cerdik dan berpelajaran tinggi. Meritokrasi menjadi sesuatu yang lumrah. Pemimpin berucap secara rasional dan saintifik.

7. Politik, walaupun tidak ideal dalam semua aspek, tetapi masih lagi menitikberatkan penggubalan dasar yang baik untuk rakyat jelata. Pelaksanaan dasar juga diberi keutamaan kepada mereka yang profesional, pintar dan menggunakan akal yang tajam supaya campur tangan orang politik dapat dibendung.

8. Di sini, kita mundur dalam banyak segi. Indonesia dan Vietnam telah jauh mengatasi kemampuan negara kita, tetapi kepimpinan Melayu di sini masih lagi dalam “denial”. Mereka masih tidak berganjak dari naratif dulu, masih lagi mahu kumpulan mereka bersatu walaupun penyatuan mereka itu hanya semata-mata untuk menang pilihan raya.

9. Kumpulan itu langsung tidak ada ciri-ciri yang membawa kepada kemajuan. Mereka masih juga berselindung di bawah isu etnik. Alasan agama selalu ditimbulkan, hal-hal yang emosi menjadi mainan politik, sedangkan rakyat mahu mencari peluang kerja dan gaji yang mencukupi.

10. Rakyat mahu ekonomi berkembang, tetapi pemikiran pemimpin lebih tertumpu bagaimana rakyat boleh dikawal dan dipecah belahkan demi pilihan raya.

11. Sampai bila rakyat terpaksa menunggu kepimpinan yang lebih baik akan menjelma? Kita tidak dapat mengharamkan lompat parti kerana kita tidak ada political will, sedangkan kita mahu kerajaan yang stabil dan ada majoriti yang sihat.

12. Agak mustahil ada kumpulan hari ini yang akan mendapat undi dua pertiga kerusi Parlimen, sedangkan kejayaan Rancangan Malaysia Ke-12 memerlukan kerajaan yang stabil.

13. Saya cadangkan kepada Perdana Menteri untuk mengadakan satu kongres - bukan Kongres Melayu, tetapi kongres rakyat Malaysia tulen supaya semua parti-parti politik yang besar dan kecil dipanggil bersidang.

14. Badan-badan NGO dan pemimpin-pemimpin komuniti juga perlu dijemput. Kita perlu kepada muafakat tulen. Biarlah mereka bercakap secara bebas dan tanpa bimbang ditangkap di bawah Akta Hasutan. Biarlah pada hari itu tajuk yang dibenarkan untuk kupasan hanyalah tertumpu kepada soal ekonomi dan hal kesejahteraan rakyat.

15. Isu cacamarba yang menjadi kegemaraan sesetengah pemimpin kita haramkan pada hari tersebut. Kita perlu mencari konsesus dan penerimaan dari kumpulan yang luas untuk menjayakan apa jua rancangan pembangunan negara ini, khususnya Rancangan Malaysia Ke-12.

16. Dari kongres ini, kita akan nampak parti politik atau kumpulan mana yang ada keupayaan membawa negara kita ketahap yang lebih maju.

17. Rakyat akan tertunggu-tunggu apakah rancangan ekonomi parti PAS untuk lima tahun ke hadapan. Bagaimanakah PAS akan membawa kemajuan kepada kumpulan wanita dan masyarakat Orang Asli misalnya.

18. Dari DAP pula, rakyat akan dapat meneliti sejauhmana kepakaran dan modal besar orang Cina akan digunakan untuk menolong atau manfaatkan orang Melayu / Bumiputera di negara ini.

19. Kongres ini juga perlu jemput pembentangan kertas kerja dari pihak istana. Rakyat tahu penglibatan istana dalam banyak aspek ekonomi dan pentadbiran berlaku secara aktif dan di sini kita akan berpeluang bertanya serta bertukar pendapat bagaimana kepentinggan istana dan rakyat jelata dapat diselaraskan dengan baik.

20. Saya harap Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada cadangan saya ini.

21. Selepas pandemik Covid-19 ini, saya harap pemimpin kita menaruh sedikit kebimbangan mengenai masa depan negara ini.

Tidak rugi Menteri-Menteri kita ada sedikit “humility” atau kerendahan diri menggambil pendekatan baharu untuk menyatukan rakyat berbilang kaum, menyatukan pimpinan politik dan badan-badan lain untuk mencari penyelesaian untuk membanteras kemunduran kita.

22. Walaupun kita ada ramai Menteri yang pintar dan berpelajaran tinggi, apa salahnya kita juga mengambil fikiran orang luar dari swasta misalnya. Cuma, saya harap ramai dari mereka yang boleh memberi sumbangan buah fikiran bernas mereka dijemput ke kongres ini walaupun mereka bukan menjadi ketua parti atau organisasi tertentu. Asalkan mereka ada buah fikiran dan pengalaman yang baik untuk rakyat.

23. Saya juga mohon Perdana Menteri masukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 perubahan Dasar Ekonomi Negara (DEN).

Cukuplah dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang sudah tidak lagi relevan, tetapi ditukar kepada dasar ekonomi yang adil untuk semua lapisan rakyat. Selagi kita terikat dengan kelemahan DEB, selagi itulah kita terus mundur. - Zaid Ibrahim

The views expressed are those of the writer and do not necessarily reflect those of MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.