Sunday, December 27, 2020

Jangan Jadi ‘Super Hipokrit’, Kata Zaid Kepada Pemimpin Politik

 

(FMT) – Bekas menteri Zaid Ibrahim menggesa pemimpin politik jangan bersikap “super hipokrit” seolah-olah parti tertentu sahaja bersih.

Beliau menasihatkan, rakyat kali ini perlu lebih teliti dan memilih calon yang baik pada pilihan raya akan datang.

“Saya tidak menulis atau bercakap pasal politik sudah lebih dua tahun. Rasanya tidak ada apa boleh dikupas dalam keadaan politik cacamarba yang melanda negara.

“Tetapi hari ini saya bertekad untuk terus menulis kerana terlalu tebal sikap hipokrit di kalangan pemimpin mengenai hal ehwal politik negara sehingga rakyat tidak lagi dapat memahami apa isu yang penting bagi mereka,” katanya di Facebook.

Bekas pengerusi DAP Kelantan itu turut membidas tindakan pemimpin politik yang menggunakan taktik menjauhkan diri mereka daripada pemimpin UMNO yang skandal rasuah.

Beliau mempersoalkan adakah mereka yakin pemimpin UMNO lain yang tidak dituduh di mahkamah bersih dan tidak terlibat rasuah.

“Ramai pemimpin mahu menubuhkan sekutu atau pakatan supaya dapat tubuh kerajaan. Mereka tidak mahu kapada Najib Razak dan Zahid Hamidi tetapi sanggup bekerjasama dengan pemimpin yang lain,” katanya.

Zaid juga mempersoalkan adakah pemimpin politik berpuas hati bekerjasama dengan pemimpin PPBM, DAP dan PAS.

“Adakah semuanya bersih sehingga mereka boleh berkerjasama tanpa was-was,” katanya.

Semalam, Zaid menggesa veteran DAP, Lim Kit Siang harus berhenti melabelkan UMNO sebagai parti kleptokrat.

“Dia (Kit Siang) berada di tempat tidur dengan kleptokrat. Dia mungkin sedang tidur bersama mereka.

“Hanya kerana kleptokrat ini tidak didakwa dan meninggalkan UMNO tidak bermaksud mereka lebih ‘bersih’ daripada UMNO,” katanya di Twitter.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.