Monday, March 1, 2021

Kad laporan kerajaan Perikatan Nasional

 

Hari ini setahun lalu – 1 Mac 2020 – Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-8. Pada 9 Mac beliau mengumumkan Jemaah Menteri kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya yang dianggotai 31 menteri tetapi tanpa timbalan perdana menteri. Dua hari kemudian jemaah menterinya bermesyuarat buat kali pertama.

Setelah satu tahun memerintah negara, tiba masanya prestasi kerajaan PN khususnya perdana menteri dinilai.

Kita tahu PN mengambil alih pentadbiran daripada Pakatan Harapan pada ketika Covid 19 mula mengganas. Oleh itu boleh diibaratkan mereka bermula dengan langkah kiri.

Pun begitu, Covid-19 juga memberi kerajaan “peluang” dan “kesempatan” untuk melaksana strategi politik dan menghalang tindakan yang mahu diambil pihak lawan untuk menggugat kedudukan mereka. Dilhat pada sudut itu, bolehlah dikatakan kerajaan PN bermula dengan langkah kanan. Namun tidak dinafikan perjalanan sepanjang satu tahun ini berliku dan berduri.

Apa pun, tempoh setahun ini boleh ibaratkan ujian dan seperti lazim, bila ada ujian, ada penilaian. Jika pejajar sekolah ada kad laporan (atau yang biasa dipanggil “report card”) di akhir ujian, begitu juga buat kerajaan.

Lantas, jika saya diizin menyediakan kad laporan kerajaan PN dengan mengambil kira prestasi mereka sepanjang satu tahun ini – akan saya nyatakan kerajaan PN berjaya mencatat beberapa “A”.

Bagi saya, ia mendapat gred A dalam menonjol imej pentadbiran Melayu Islam. Perdana menteri memulakan perutusan dengan lafaz Bismillah dan mengakhiri dengan doa untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Cukup berkesan dan diterima baik terutama dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam.

Beliau juga membawa masuk ke dalam Jemaah Menteri seorang bekas mufti dan melantik seorang agamawan sebagai duta khas. Di samping itu, kerajaan berjaya mengawal tindak-tanduk atau tingkah laku rakan rakan bukan Islam dalam kerajaan.

Dapat juga “A” kerana berjaya mengambil langkah “senyap” dan tidak memberi reaksi terhadap tekanan atau provokasi pihak lawan (untuk menumpu perhatian pada kerja?).

Malah perdana menteri sendiri mampu untuk tidak terjerumus ke dalam “gejala” sidang media. Sekali gus mencatatkan gred A atas usaha menyalurkan maklumat kepada rakyat menerusi ‘lambakan’ perutusan khas.

Pada peringat awal memerangi wabak Covid-19 kerajaan mendapat gred A hasil tindakan tepat behubung soal kesihatan dan ekonomi untuk membantu rakyat .

Bagaimana pun prestasi agak menurun lama-kelamaan. Pun begitu, ia tetap meraih gred A jika diambil pengiktirafan yang diberi ahli politik veteran Daim Zainuddin.

Kata Daim (dan juga bekas perdana menteri Najib Razak ), kerajaan menggubal SOP yang membawa erti “Semua Orang Pening”.

Benar kata mereka. SOP mempunyai pelbagai intepretasi dan diubah-ubah sehingga bukan sahaja rakyat yang pening bahkan pihak yang diamanahkan untuk menguatkuasakan SOP itu juga sakit kepala .

Contoh terbaru ialah mengenakan denda RM10,000 yang dijadual bermula 11 Mac. Mulanya dikatakan denda sekeras itu akan dikenakan keatas orang ramai yang melanggar PKP. Kemudian diberitakan denda itu “hanya” untuk golongan yang kerap mengingkari PKP. Maksudnya “repeat offenders”.

Bagaimanapun, jika pusingan U itu dibuat setelah mendengar rungutan rakyat, ia patut mendapat Gred A+.

Kerajaan juga mendapat markah tinggi kerana berjaya mewujudkan apa yang dilihat sebagai tindakan dua darjat – satu untuk VIP, satu untuk rakyat.

Pelbagai pusingan U, “flip flop” termasuk perubahan arahan juga menyaksikan kerajaan memperolehi gred tinggi. Contoh terbaru ialah arahan sekolah dibuka SETELAH jutaan ringgit dibelanjakan untuk menambah baik usaha pembelajaran menerusi TV, uar-uar membaiki pencapaian internet, meminjam komputer riba kepada pelajar, dan memberi arahan kepada guru untuk menyiapkan kurikulum pembelajaran dalam talian.

Satu lagi gred A+ ialah kemahiran atau kebijaksanaan kerajaaan memujuk pihak lawan menyertai mereka – sama ada terus ke dalam kerajaan (jawatan Jemaah Menteri) atau di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) .

Bagi saya, pencapaian terbaik Perikatan Nasional ialah walaupun dikatakan lemah, hanya punyai sokongan majoriti tipis dan sebagainya, ia masih bertahan dan memerintah. Malah, kemungkinan besar akan terus memerintah .

Usaha menggulingkan kerajaan oleh pihak lawan sehingga kini tidak berhasil. Itu bagi saya gred Super A.

Namun yang menyedihkan, pencapian itu kerap dikaburi apabila ramai yang masih ingat pertandingan Tik Tok anjuran menteri , air suam untuk menghapuskan virus Covid-19, menteri merentasi sempadan negara dan pulang tanpa perlu dikuarantin.

Ramai yang tidak lupa juga akan menteri bersenam dengan rakan waktu PKP, menteri langsingkan badan dan melakukan “make over’ serta menteri hisap vape di Parlimen. Macam-macam hal lagi dalam tempoh setahun lalu.

Jika pada kad laporan pelajar sekolah , ada ruang komen untuk diisi guru sebagai kesimpulan. Kesimpulan lazim yang dibuat guru ialah: “Baik. Teruskan usaha”.

Bagi kad laporan kerajaan saya biarkan ruang kesimpulan kosong.- FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.