Tuesday, April 27, 2021

17 sekolah di 3 negeri diarah tutup

 

Menurut SOP, sekolah yang disahkan mempunyai kes positif ditutup dua hari sebelum penilaian risiko dibuat sama ada untuk melanjutkan penutupan itu atau tidak.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 sekolah lagi diarah tutup sementara susulan terdapat kes Covid-19.

Ia melibatkan sembilan sekolah di Kedah, tujuh di Pulau Pinang dan satu di Negeri Sembilan.

Di Kedah, Pengarah Pendidikan negeri Rozaini Ahmad berkata tujuh sekolah ditutup mulai hari ini hingga esok melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda; SK Dato Wan Mohd Saman dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Pumpong di daerah Kota Setar; SK Dato Wan Kemara (Kubang Pasu); SK Hj Rahman (Pendang) serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas dan SK Junjong (Kulim).

Beliau berkata dua lagi sekolah ditutup bermula esok hingga Khamis ini membabitkan SK Iskandar dan SR Integrasi Teras Islam (SRITI) Darul Islam Jalan Kuala Kedah di daerah Kota Setar.

Di Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Abdul Rashid Abdul Samad berkata tujuh lagi sekolah ditutup hari ini menjadikan 27 sekolah di negeri itu ditutup sejak semalam kerana terdapat kes COvid-19.

“Kami telah mengambil langkah segera mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan bagi sekolah yang ditutup, proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berjalan mengikut jadual persekolahan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Di Negeri Sembilan, SMK Desa Cempaka di Nilai diarah tutup selama dua hari bermula hari ini berikutan terdapat warganya disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata penutupan sekolah boleh dilanjutkan melebihi tempoh dua hari berdasarkan saranan, nasihat dan penilaian risiko oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkaitan.

Semalam, tujuh sekolah di negeri itu diarah tutup sehingga esok.

Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyelaraskan SOP sekolah yang disahkan mempunyai kes positif iaitu ditutup dua hari dan PKD akan melaksanakan penilaian risiko sama ada untuk melanjutkan penutupan itu atau tidak.

Ia juga bagi PKD melaksanakan pengesanan kontak rapat dan memantau kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.