Thursday, April 1, 2021

Bulan tak bermadu di Langkawi

 

Sebenarnya tidak ramai antara anda mengetahui bahawa jauh sebelum insiden Mahsuri di Pulau Langkawi menyumpah seranah penduduknya selama tujuh keturunan, Langkawi telah pun menjadi tumpuan untuk pasangan berbulan madu.

Sebetulnya, pada harinya Mahsuri melaknat Langkawi, iaitu pada hari Siam melanggar pulau tersebut (dipercayai sekitar tahun 1821) terdapat pasangan yang baru bernikah berbulan madu di sana.

Percutian bulan madu pasangan Tengku Balkiz dan Raja Loka itu berakhir dengan kecelakaan. Mereka terpaksa menamatkan senda bahagia mereka lebih awal yang bertukar menjadi sendu nestapa.

Malahan insiden itu menjadi satu trauma buat Tengku Balkiz yang terpaksa melihat bagaimana Mahsuri ditikam sampai terbit darah putih.

Terdapat dalam “Syaier Bulan Madu Terganggu” diperikan bagaimana Tengku Balkiz menjadi nanar ekoran terlihat tumpah darah Mahsuri yang putih itu umpama aliran turun jemaah haji dari Jabal Rahmah.

Di dalam buku sejarah digambarkan bagaimana kecamuknya suasana. Untuk mempertahankan diri, orang Melayu Langkawi berjuang melawan gerombolan perang tentera Siam dengan menggunakan panah beracun selain meracun punca air yang digunakan oleh perajurit Siam.

Tidak banyak yang anda tahu tentang Tengku Balkiz dan Raja Loka yang kurang disenangi rakyat tatkala itu.

Satu lagi episod percintaan dan bulan yang tidak bermadu di Langkawi melibatkan staf muda syarikat Behn Meyer dari Jerman yang berusia dalam 26 tahun dengan pasangannya seorang wanita ternama dari Kedai Mulong.

Tidak banyak yang kita tahu mengenai mereka, tetapi dokumen arkib menunjukkan staf muda Behn Meyer itu merupakan seorang perisik, yang mengambil kesempatan menikahi seorang gadis berusia sebagai tujuan penyembunyian identiti.

Shakila Yacob dalam ”Risiko Politik Dan Perniagaan Jerman Di Tanah Melayu: Kajian Kes Syarikat Behn, Meyer & Co., 1840-1959” melakarkan insiden bagaimana kuasa Jerman menerusi Behn Meyer cuba untuk menghimpit peluang bertapak di Tanah Melayu, atau setepatnya di Pulau Langkawi.

Shakila menulis, saya petik:

“Menjelang tahun 1900 satu laporan oleh London and China Express mengenai kepentingan Jerman di Langkawi telah menimbulkan syak wasangka pihak British terhadap cita-cita politik Jerman di rantau ini.

“Behn, Meyer & Co. di Singapura telah memfailkan satu permohonan kepada Sultan Kedah untuk mendapatkan pajakan selama 50 tahun bagi Langkawi dengan bayaran S$60,000 setahun.

“Siam (hari ini Thailand) yang memerintah Kedah ketika itu enggan meluluskan konsesi tersebut hasil tekanan pihak British.

“Satu lagi permohonan oleh Behn Meyer untuk mendapatkan pajakan selama 20 tahun juga ditolak.

“Tindakan Behn Meyer mencari pengkalan bagi angkatan laut Jerman di Asia Tenggara, terutama di Pulau Langkawi menghadapi jalan buntu apabila termeterainya Perjanjian Bangkok pada tahun 1909 yang membawa kepada pemindahan kuasa daripada Siam kepada Britain untuk kesemua negeri di utara Tanah Melayu; Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu sekali gus menamatkan cita-cita politik Jerman.”

Staf muda Behn Meyer yang saya sentuh lebih awal membawa isterinya ke Langkawi untuk berbulan muda, tetapi juga dengan tujuan bekerja (tugas perisikan untuk Jerman).

Namun demikian gerak geri staf muda Behn Meyer ini ketahui oleh seorang saudagar Pegu (sekarang Myanmar) yang baru membuka sebuah perkampungan di Bukit Malut.

Ini kerana lelaki Pegu ini mencium tindak-tanduk Behn Meyer di Rangoon jauh sebelum ketibaan pemodal Jerman tersebut.

Satu catatan sejarah bertulis tangan ada menukilkan bagaimana percutian staf muda dan wanita dari Kedai Mulong itu mendapat perhatian penduduk Langkawi yang ikut curiga.

Ini kerana staf muda itu mendakwa mereka hanyalah pasangan berbulan madu, sedangkan staf muda setiap pagi (mungkin juga malam) terpacak menghendap beberapa pelabuhan kecil di sekitar Langkawi.

Dalam sejarah lisan dinyatakan penduduk Bukit Malut beramai-ramai mendekati staf muda itu dan menekan beliau apakah tujuannnya berada di Langkawi itu atas dasar kerja berdagang, atau atas sebab-musabab percutian bulan madu.

Cara staf muda dari Behn Meyer itu acuh tidak acuh memberi respons mendorong beliau ditangkap, ditelanjangkan dan digantung dalam persalinan baju putih di sebatang pohon.

Kejadian menyedihkan ini mendorong seorang penyair istana menulis sebuah syair dengan judul “Shaer Buah Putih”.

Satu kejadian lain mengenai bulan tidak bermadu di Langkawi ialah kisah Riza Malabar dan Puteri Bee ketika merebaknya flu Sepanyol (Spanish flu) yang dikenali pada tahun 1918 sebagai pandemik atau wabak 1918.

Seperti mana terakam dalam rekod sejarah, flu Sepanyol atau H1N1 influenza A virus memakan korban besar.

Antara Februari 1918 sehingga April 1920, seputar 500 juta umat manusia meninggal dunia. Penyakit ini muncul dalam bentuk gelombang, yang mana terdapat empat kali ia melanda.

Riza Malabar dan Puteri Bee adalah antara mangsa flu Sepanyol ini yang mana Puteri Bee dipercayai dijangkiti dari seorang yang berketurunan Wan.

Ketika ini terjadi, catatan Puteri Bee menzahirkan; “adapun kita terkena sakit selesema yang tidak zauk ini di Hadji Ismail Pulau Langkawi.”

Riza Malabar yang tidak dikenali oleh anda (kerana tiada dalam buku teks sejarah) ini adalah seorang saudagar Kashmiri yang tersohor, sementara isterinya adalah antara penjual manisan (madu lebah barangkali) yang berjaya dalam era yang disebutkan di atas tadi.

Kisah mereka termuat dalam “Hikayat Demam Helang Kawi”.

Kejadian keempat yang membabitkan percutian bulan tidak bermadu golongan ternama di Langkawi tentulah tidak lain tidak bukan melibatkan Bapa Kemerdekaan anda iaitu almarhum Tunku Abdul Rahman.

Seperti yang tidak dijelaskan dalam buku sejarah, Tunku menemui isteri keduanya Violet Coulson pada tahun 1927, ketika masih menuntut di London dalam bidang perundangan.

Ketika itu, Violet memiliki sebuah restoran yang mana ramai pelajar Malaysia yang kaya raya dan mewah tatkala itu menjadikan restorannya tempat atau pusat berhimpun.

Violet rajin melayan Tunku yang mana mereka sering menari berdua.

Pada tahun 1933 saat Tunku masih beristerikan seorang Cina, Meriam Chong, pada tahun 1933, beliau telah membawa Violet ke Medan, Indonesia.

Apabila Meriam meninggal dunia, Violet telah meninggalkan restorannya dan berangkat ke Singapura.

Beliau hanya menulis surat mengharapkan Tunku setibanya di Singapura. Ternyata cinta yang pernah berputik itu berkembang menjadi perkahwinan di mana Tunku secara rahsia mengahwini Violet di Geylang Serai, dengan disaksikan oleh Syed Ahmad al-Sagoff. Violet memilih menetap di Pulau Pinang, manakala Tunku terpaksa bertugas sebagai pegawai daerah di Kuala Nerang.

Sejujurnya perkahwinan itu kurang diberi perhatian oleh mereka yang lebih senior dalam istana Kedah.

Ini kerana, putera mahkota iaitu Tunku Ibrahim, kurang menggemari perkahwinan campur, dan menghalang siapa sahaja yang berani mencabar tradisi ini.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1934 dan digantikan oleh Tunku Mahmud, adik bongsu Sultan. Kemangkatan mengejut baginda ini membolehkan Violet mencari Tunku di Kuala Nerang.

Namun demikian Secretary to the Government tidak mahu Tunku terbawa-bawa lantas berusaha memisahkan pasangan bulan madu itu seraya mengutusnya menjadi “District Officer” Langkawi.

Ketika inilah Violet ikut hidup berbulan madu dengan Tunku Abdul Rahman.

Namun, tidak semua bulan madu itu manis, terdapat juga bulan madu yang pahit. Tumpuan Tunku terhadap pembangunan Langkawi telah mengejutkan pemangku penasihat Inggeris iaitu S.W Jones M.C.S, yang kemudian memindahkan Tunku ke Sungai Petani.

Ini kerana Tunku dianggap mencapai sasaran yang hari ini kita namai KPI.

Bibit-bibit perpisahan telah terbenih di Langkawi memandangkan Violet menganggap nikmat berada di Langkawi itu seibarat Grand Hyatt atau Sheraton. Padahal Tunku pula asyik berkhidmat dan bekerja. Hasil pergaulan Violet dan isteri pegawai Inggeris, Tunku dan Violet didorong bertengkar sehingga kadang kala Violet menanggalkan cincin perkahwinan dari jarinya. Kemarahan Tunku tidak terbendung apabila pada tahun 1937 Violet dikatakan menghina wanita Melayu sebagai tidak bertamadun dan bodoh.

Benih yang tidak baik disemai di Langkawi itu membawa kepada perceraian Tunku dengan Violet Coulson dan hanya menjadi rasmi banyak tahun kemudian, iaitu pada tahun 1946 (tahun penubuhan Umno).

Sebahagian drama sejarah ini boleh dibaca menerusi karangan Alan Teh Leam Seng dengan tajuk “Tunku’s leadership developed in Langkawi”.

Meskipun Langkawi kelihatannya banyak mendorong kesan hitam berlohong, pada 2018 penduduk Langkawi mencatat sejarah dengan melantik seorang Ahli Parlimen yang paling berusia sebagai wakil mereka di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen tersebut kemudian dipilih menjadi perdana menteri selama 22 bulan. Tempoh berbulan madu selama setahun lebih itu bagaimanapun berakhir kerana kecurangan orang ketiga.

Semuanya kini bulan pahit. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.