Wednesday, April 28, 2021

SPR pamer Rang Daftar Pemilih Tambahan mulai esok

 

Individu yang memohon sebagai pengundi baru dan pertukaran bahagian pilihan raya boleh membuat semakan di 908 lokasi pameran di seluruh negara mulai esok hingga 11 Mei ini.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku pertama 2021 di 908 lokasi di seluruh negara mulai esok hingga 11 Mei ini.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, RDPT itu mengandungi 52,382 orang yang mendaftar sebagai pengundi baharu dan 19,679 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya dalam tiga bulan pertama tahun ini.

“Semua pemohon dinasihatkan menyemak nama mereka dalam RDPT itu. Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan, mereka boleh membuat tuntutan melalui borang B.

“Bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi borang C,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, borang B dan C boleh dimuat turun dari portal pejabat Pilihan Raya Negeri sebelum dikemukakan kepada pendaftar pemilih (pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran terbabit pada waktu pejabat sepanjang tempoh pameran RDPT diadakan.

Katanya, SPR juga akan mempamerkan nama pengundi yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.”

Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT boleh menghubungi 03-8892 7018 atau mana-mana pejabat Pilihan Raya Negeri. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.