Wednesday, April 28, 2021

Video ‘rebus katak’ sunting ucapan Ketua Biskop untuk hasut orang Islam, kata kumpulan peguam

 

Persatuan Peguam Katolik mahu pihak berkuasa siasat video yang menyunting ucapan Ketua Biskop Julian Leow di luar konteks dengan niat untuk mengancam keamanan.

PETALING JAYA: Satu video ‘rebus katak’ yang dimuat naik di Facebook baru-baru ini menyunting ucapan Ketua Biskop Julian Leow pada 2014 untuk menghasut orang Islam, kata Persatuan Peguam Katolik (CLS) Kuala Lumpur.

Presiden Godfrey Thomas Fernandez berkata video berkenaan memetik ucapan Leow secara luar konteks, untuk menggambarkan ketua paderi itu sebagai mempunyai suatu ‘rancangan 25 tahun’ terhadap orang Islam.

Katanya, video itu disunting sebegitu dengan niat untuk mengancam keamanan dan keharmonian antara penganut pelbagai agama.

“Bagi melindungi kesucian Gereja Katolik di Malaysia dan Ketua Biskop Julian Leow, CLS menyeru pihak berkuasa menyiasat video tersebut, pemilik laman Facebook terbabit, dan pembikin kenyataan-kenyataan yang mengapi-apikan, menghasut, dan menghina di laman itu,” kata Fernandez dalam kenyataan.

CLS mahukan siastan dijalankan dari sudut jenayah menghasut, intimidasi, dan fitnah, dan berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk menangani isu yang boleh mencetuskan konflik.

Video ‘rebus katak’ dimuat naik di suatu laman di Facebook, yang mendakwa ia “rakaman perancangan 25 tahun Ketua Biskop Kuala Lumpur” terhadap orang Islam.

Catatan di laman itu mendakwa rakaman itu diserahkan oleh seorang ahli gereja yang mahu ‘rancangan 25 tahun’ itu disekat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.