Saturday, May 1, 2021

Aktiviti berbuka puasa, moreh jadi punca kluster baharu di Sabah

 

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun berkata, Kluster Jalan Kilang Dua adalah yang kedua direkodkan di tempat sama.

PETALING JAYA: Aktiviti berbuka puasa dan moreh menjadi punca dua kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan di daerah Lahad Datu dan Kalabakan di Sabah hari ini.

Kluster Jalan Kilang Dua di Lahad Datu, membabitkan tempat kerja, dipercayai tercetus akibat penggunaan tempat tertutup dan sempit ketika pekerja kilang berbuka puasa, menurut jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun.

“Sehingga kini, sebanyak 11 kes positif Covid-19 direkodkan, dengan kes indeks adalah seorang pekerja lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang disahkan positif melalui saringan bergejala pada 23 April lalu,” kata beliau, seperti dilaporkan Berita Harian.

Tambah beliau, kluster itu yang kedua direkodkan di tempat sama selepas kali pertama pada Disember tahun lalu dengan nama Kluster Jalan Kilang.

Sementara itu, Kluster Umas di Mukim Brumas, Kalabakan pula berkait aktiviti berbuka puasa dan pengagihan moreh membabitkan kes indeks bersama ahli jawatankuasa sebuah masjid, kata Masidi.

“Kluster Umas di Kalabakan pula merekodkan 34 kes positif setakat ini, membabitkan kes indeks seorang pengurus lesen pekerjaan FELDA Utara Kalabakan yang dikesan positif hasil saringan bergejala pada 22 April lalu.

“Turut disahkan positif, sembilan ahli keluarga kes indeks dan lapan orang jemaah di sebuah masjid selepas menjalani saringan kontak rapat,” kata beliau.

Sabah merekodkan penurunan kes baharu hari ini dengan hanya 64 kes, berbanding 89 kes semalam.

Secara keseluruhan, sebanyak 2,881 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara hari ini, dengan 14 kluster baharu dikesan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.