Wednesday, June 2, 2021

Hampir 10,000 di Terengganu gagal hadir terima vaksin

 

Hampir 10,000 penduduk di Terengganu kebanyakan warga emas gagal hadir menerima suntikan vaksin.

PETALING JAYA: Terlupa janji temu dan tiada kenderaan antara alasan diberikan hampir 10,000 penduduk di Terengganu yang gagal hadir menerima suntikan vaksin, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Beliau berkata, majoriti yang dikesan gagal hadir bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi dan diabetes.

“Bagi mengelak pembaziran vaksin, kita terpaksa memanggil individu yang berada di dalam senarai menunggu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Alias berkata, vaksin yang sudah dikeluarkan perlu digunakan dan tidak boleh dimasukkan semula ke dalam tempat simpanan vaksin.

Katanya, beliau turut mengakui Terengganu antara negeri yang terendah dalam jumlah dan peratusan penerimaan vaksin walaupun pendaftaran yang dibuat adalah tinggi.

“Kita sentiasa mencari kaedah bagi mengatasi masalah berkenaan bagi memastikan rakyat di negeri ini mengambil vaksin.

“Sasaran kita adalah untuk mencapai tahap antara 70 hingga 80% dan selagi tidak mencapainya, kita berasa kita tidak selamat,” katanya.

Sebelum ini, hampir 11,000 dan 10,000 pendaftar vaksin Covid-19 masing-masing di Kedah dan Kelantan dilaporkan tidak menghadiri janji temu menerima suntikan dan antara alasan diberikan adalah bernikah serta demam. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.