Saturday, July 31, 2021

Tiada Istilah ‘Derhaka’ Dalam Perlembagaan

 

Kamarazaman Yacob, Malaysia Now

Mengapa istilah ini masih digunakan walaupun Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan?

Istilah “penderhaka” dipergunakan di dalam masyarakat Melayu, semasa dipimpin oleh sistem raja mutlak.

Bagaimanapun, istilah “derhaka” turut digunakan secara meluas dalam masyarakat Melayu.

Misalnya, perbuatan keji seorang anak kepada ibu bapa mereka turut dianggap derhaka.

Lebih parah lagi, bila masyarakat Melayu turut meluaskan penggunaan “derhaka” dengan mengaitkan hal keagamaan.

Lahirlah istilah derhaka seorang isteri terhadap suami.

Dengan adanya istilah derhaka di dalam penghidupan Melayu-Islam, maka terjadilah penindasan oleh seorang lelaki terhadap isterinya.

Bila kekejian dilakukan oleh seorang suamu dibantah keras oleh isteri, maka suami akan menggunakan istilah “derhaka”.

Istilah derhaka dalam masyarakat Melayu semasa raja mutlak itu, lebih berupa menjaga kepentingan pihak berkuasa.

Atau pihak yang dianggap berkuasa, misalnya seorang suami.

Jadi, apakah semasa sistem raja berperlembagaan ini, istilah “derhaka/penderhakaan” itu masih sesuai untuk dipakai?

Sebabnya di dalam sistem raja berperlembagaan, kuasa tertinggi adalah Perlembagaan.

Kuasa tertinggi bukan lagi ketua negara atau Yang di-Pertuan Agong, seperti mana semasa sistem raja mutlak.

Semasa raja mutlak, memang raja adalah kuasa tertinggi.

Atas sebab itu, lahirnya istilah “bersultan di mata, beraja di hati.”

Yang membawa maksud Raja boleh melakukan apa saja, di mana rakyat terpaksa menerimanya.

Bagaimanapun, dalam hidup masyarakat Melayu, terdapat juga falsafah yang memberi ruang kepada pendokong keadilannya iaitu “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”.

Dalam Hikayat Hang Tuah, falsafah ini didokong oleh Hang Jebat.

Jelas di dalam sistem raja berperlembagaan ini, kuasa tertinggi adalah Perlembagaan.

Dan kuasa Agong diikat dengan Perkara 40(1), di mana Agong perlulah bertindak atas nasihat perdana menteri/Kabinet.

Apabila kuasa Agong diikat dengan Perkara 40(1), jadi apabila Agong tidak mengikutnya, apakah teguran atau penjelasan dari perdana menteri/Kabinet ini masih boleh dianggap menderhaka atau suatu penderhakaan?

Saya kira, Perlembagaan perlu diletakkan ditempat sahnya.

Agong dan raja-raja Melayu mesti bersemayam di tahapnya.

Pihak eksekutif mesti dibenarkan menjalankan tugasnya yang sah dan tidak boleh melewati sempadannya.

Bila hal-hal ini sesama dipatuhi, maka sistem raja berperlembagaan, adalah acuan yang terbaik untuk Malaysia.

Istilah derhaka/penderhakaan ini dipergunakan sewenang-wenangnya oleh pihak dari parti yang terkenal dengan fahaman rasis mereka.

Malah tokoh-tokoh rasis mereka menjeritkan perkataan derhaka kepada pihak kerajaan, semasa sidang khas parlimen baru-baru ini.

Bila tokoh-tokoh rasis ini menggunakan istilah itu, kita terfikir, apakah mereka mempersendakan istilah tersebut, atau mereka hanya mengambil kesempatan dari adanya falsafah tersebut.

Sedangkan masyarakat Melayu melihat sikap mereka terhadap institusi raja dan Islam, semasa pemerintahan Pakatan Harapan selama 22 bulan.

* Kamarazaman Yacob merupakan bekas aktivis mahasiswa 1970-an dan penganalisis politik semasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.