Monday, August 30, 2021

Suami isteri ceroboh IPD Ranau dicekup polis

 

Menurut polis hasil ujian saringan ke atas pasangan berusia 27 dan 33 tahun itu mendapati hanya suspek lelaki positif dadah. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA : Polis menahan sepasang suami isteri selepas mereka menceroboh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau dengan menaiki Proton Wira dan memecahkan pintu kaca bangunan IPD itu, pagi kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah, Simiun Lomudin, suspek lelaki memandu secara melulu hingga melanggar papan tanda berhenti di pondok pengawal sebelum meluru masuk ke lobi utama dalam kejadian jam 9.17 pagi itu.

Katanya, suspek kemudiannya memberhentikan kereta dan keluar dari kenderaan itu sebelum memecahkan pintu kaca di IPD berkenaan dengan menggunakan tong sampah.

“Dia kemudiannya ditahan anggota bertugas dan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk siasatan awal,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Berita Harian.

Katanya, isterinya yang juga penumpang kereta turut ditahan polis dan hasil ujian saringan pasangan berusia 27 dan 33 tahun itu mendapati hanya suspek lelaki positif dadah.

“Kita percaya tindakan ini dilakukan akibat berada di bawah pengaruh dadah dan mereka direman untuk siasatan lanjut manakala kereta itu dirampas,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.