Thursday, September 30, 2021

Jabatan perolehan paling terdedah sindiket kartel projek, dedah SPRM

 

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Izani Wan Ishak berkata, berdasarkan kes terdahulu, individu di jabatan perolehan akan berpakat dengan kontraktor atau pembekal untuk membocorkan maklumat dalaman mengenai sesuatu projek kepada syarikat pembida.

PETALING JAYA: Jabatan perolehan di agensi kerajaan dan swasta didapati paling terdedah kepada skandal rasuah hingga wujudnya sindiket kartel projek membabitkan individu berkuasa dan kontraktor atau pembekal, dedah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Izani Wan Ishak berkata, berdasarkan kes terdahulu, individu di jabatan perolehan akan berpakat dengan kontraktor atau pembekal untuk membocorkan maklumat dalaman mengenai sesuatu projek kepada syarikat pembida.

“Menerusi pakatan ‘menang-menang’ itu, pembida dapat melalui proses kelulusan tender secara mudah dengan wujudnya amalan rasuah di semua peringkat jabatan.

“Kartel inilah yang menjadi masalah besar yang kita hadapi dan perkara ini sudah lama berlaku dan akan terus berlaku,” katanya dalam seminar bertajuk “Bersama Memerangi Rasuah”.

Beliau berkata, kuasa, jawatan dan kedudukan seseorang serta peluang dan ruang untuk melakukan rasuah antara punca utama wujudnya elemen rasuah dalam sesuatu jabatan.

Katanya, sektor awam mencatatkan kes rasuah paling tinggi dengan 1,628 kertas siasatan dibuka sejak 2018 hingga Ogos tahun ini.

“Daripada jumlah itu, 255 kes telah dijatuhkan hukuman,” katanya.

Ditanya adakah wujud gangguan daripada mana-mana pihak ketika siasatan dijalankan, Izani mengakui menghadapi kesulitan dari segi kerjasama membabitkan individu berpengaruh atau berjawatan dalam memberi keterangan yang tepat dan benar.

“Tidak ada di peringkat penyiasatan diganggu oleh mana-mana pihak selama 37 tahun saya menyelia kes, tetapi masalah kita adalah untuk dapatkan kerjasama apabila melibatkan individu berkuasa atau berjawatan dalam mendapatkan fakta sebenar,” katanya.

Seorang lagi ahli panel, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Mohamed Shafie BP Mammal mencadangkan Mahkamah Rasuah diwujudkan agar kes berkaitan jenayah itu dapat diberikan perhatian sewajarnya.

“Dengan adanya Mahkamah Rasuah ini, tempoh perbicaraan tidak mengambil masa panjang kerana rakyat sudah meluat dengan apa yang berlaku sekarang, selepas kes berjalan begitu lama, akhirnya sesuatu kes itu digugurkan atau dilepaskan,” katanya tanpa merujuk mana-mana kes.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Ahmad Maslan atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta dan memberi pernyataan palsu kepada SPRM, selepas membayar kompaun RM1.1 juta.

Firma guaman yang mewakili Ahli Parlimen Pontian itu berkata, bayaran kompaun RM1.1 juta kepada mahkamah bukan bermaksud Ahmad mengaku salah terhadap dua pertuduhan terhadapnya.

Katanya, proses penyelesaian itu juga tiada sebarang kaitan dengan faktor politik atau luaran serta tidak melibatkan mana-mana individu atau agensi lain, selain agensi siasatan dan pendakwaan terlibat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.