Tuesday, September 28, 2021

KKM cari jalan bawa pulang doktor pakar, kata timbalan menteri

 

Kementerian Kesihatan turut melantik semula pakar perubatan tempatan yang bersara wajib, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran daripada sektor swasta menerusi penyampaian perkhidmatan dan penyumberluaran. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) berusaha mencari jalan untuk membawa pulang doktor pakar dari luar negara bagi mencapai sasaran 28,000 doktor pakar menjelang 2030.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sasaran itu realistik dan mampu merapatkan jurang kursus kepakaran sarjana serta kursus kepakaran.

Katanya, usaha lain untuk menambah jumlah doktor pakar dalam negara ialah meningkatkan slot tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) supaya lebih ramai pegawai perubatan boleh melanjutkan pengajian dalam program sarjana kepakaran.

Beliau berkata, sebanyak 1,300 slot disediakan untuk tahun ini.

“(Sebuah) jawatankuasa khas ditubuhkan tahun ini yang fokus memohon dana daripada (Kementerian Kewangan) untuk HLP bagi timbulkan minat dan kebolehlaksanaan doktor-doktor baharu dalam bidang kepakaran yang diminati (mereka),” katanya menjawab pertanyaan Saifuddin Nasution Ismail (PH-Bandar Baharu Kulim) di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 15 Sept lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, keperluan doktor pakar akan meningkat kepada 28,000 orang pada 2030 untuk merawat warga emas dan penghidap penyakit tidak berjangkit.

Katanya, KKM tidak menafikan sektor kesihatan negara kini mengalami kekurangan doktor pakar hingga mengakibatkan ada pesakit terpaksa menunggu untuk satu tempoh masa tertentu bagi mendapatkan rawatan susulan.

Azmi berkata, KKM turut melaksanakan lantikan semula pegawai perubatan pakar warganegara Malaysia yang bersara wajib, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran daripada sektor swasta menerusi penyampaian perkhidmatan dan penyumberluaran.

Sehingga 30 Jun lalu katanya, seramai 6,012 pakar perubatan berkhidmat di KKM, dengan 5,993 daripadanya adalah pakar perubatan lantikan tetap dan 19 lagi pakar perubatan kontrak. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.