Wednesday, September 29, 2021

Remaja kerdil rayu sumbangan perubatan

 

Keadaan Kama Mirezzanial Kam Rezmie yang kini koma dan tidak sedarkan diri.

PETALING JAYA: Ibu kepada seorang remaja yang pernah dinobatkan sebagai kanak-kanak paling kecil di dunia pada 2012, merayu sumbangan orang ramai untuk membantu membiayai kos rawatan anaknya yang kini dirawat di Pusat Perubatan Sunway selepas diserang sawan.

Masitah Mohd Yusof, 43, berkata, anaknya yang sebelum ini tidak mengalami sebarang penyakit dan sentiasa ceria tiba-tiba mengalami sawan petang kelmarin, menyebabkan badannya kejang dan mengeras.

Pada mulanya, beliau berkata, mereka berdepan kesukaran untuk mendaftar masuk ke hospital kerajaan selepas dimaklumkan semua hospital di Lembah Klang penuh, malah hospital yang mempunyai kekosongan pula tidak mempunyai kelengkapan untuk merawat anaknya.

“Selepas jam 3 pagi (semalam) baru anak saya dapat dibawa ke Pusat Perubatan Sunway selepas pihak hospital memaklumkan ada kekosongan dan pakar untuk merawat anak saya,” katanya kepada FMT.

Kama Mirezzanial Kam Rezmie, 17, yang kini koma dan tidak sedarkan diri, memerlukan kos rawatan harian kira-kira RM5,000 hingga RM10,000 sehari.

Beliau yang kini bergantung penuh kepada alat bantuan pernafasan mempunyai ketinggian hanya 90cm dan memakai baju saiz kanak-kanak berumur 1 hingga 2 tahun.

Penghargaan yang diterima Kama Mirezzanial Kam Rezmie selepas dinobatkan sebagai kanak-kanak paling kecil di dunia pada 2012.

Masitah yang juga seorang suri rumah berkata, kos yang dimaklumkan oleh pihak hospital benar-benar di luar kemampuan keluarga memandangkan suaminya, yang bekerja sebagai pengusaha katering hanya bekerja seorang.

Katanya, lebih menyukarkan mereka sekeluarga apabila perniagaan suami terjejas teruk sejak pandemik Covid-19, menyebabkan simpanan mereka semakin menyusut.

“Simpanan suami sudah habis kami keluarkan untuk tampung kos perubatan anak untuk beberapa hari ini, saya merayu walaupun hanya RM1 pun, saya terima derma anda semua,” katanya yang terkejut dengan nasib menimpa anak sulungnya.

Masitah berkata, esok pihak hospital akan melakukan prosedur Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) terhadap Kama Mirezzanial untuk mengetahui lebih lanjut tahap penyakit yang dihadapi anaknya.

“Tak tahu sampai bila Kama Mirezzanial akan dirawat di sini, kerana keadaan dia benar-benar lemah dan tidak memberi sebarang tindak balas,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.