Thursday, September 30, 2021

Politikus memomokkan SPRM

 

Semakin beria pembangkang mengasak Azam Baki dan SPRM, maka semakin jelas pada kita ada sesuatu yang tidak kena. Kita mesti melindungi SPRM dari persepsi yang cuba dibina oleh ahli-ahli politik yang ada kes di mahkamah, bahawa badan ini alat politik. Atau oleh kononnya ada maklumat tertentu daripada bekas pegawai SPRM yang sudah dipecat atau dibuang.

Dakwaan SPRM alat parti tertentu misalnya adalah karut kerana pertama, kuasa pendakwaan tiada pada SPRM sebaliknya ada pada pejabat Peguam Negara. Kedua, tuduhan SPRM alat parti kerajaan juga mengakibatkan masyarakat memandang serong usaha membasmi rasuah. Ia juga tidak membantu SPRM untuk melakukan kerja mereka.

Untuk mencegah tindakan sesetengah ahli politik terus-terusan memburukkan SPRM, apa yang boleh dilakukan ialah mereformasi undang-undang rasuah dengan pertama; memberi kuasa pendakwaan kes rasuah kepada SPRM dan bukan lagi di tangan pejabat Peguam Negara. Ini supaya semua ahli politik boleh diadili tanpa pilih bulu, justeru parti memerintah mesti memberi kebebasan sebenar kepada badan pencegah rasuah ini.

Kedua, hanya meletakkan SPRM bawah Parlimen sahaja badan ini akan lebih diberdayakan. Ini supaya tiada lagi boleh dihujahkan SPRM alat politik. Ia juga akan menguatkan SPRM untuk membanteras rasuah. Maka kita berharap sentimen anti SPRM dan persepsi konon SPRM tidak adil ini dapat dibetulkan. Ahli politik yang kotor dan ada kes juga tidak boleh lagi menggunakan “cybertrooper” untuk mencipta naratif kononnya SPRM mengejar mereka kerana diarahkan sedemikian. Ia juga bagus untuk SPRM kerana staf atau pegawai SPRM yang mudah dibeli atau bermasalah, atau ada agenda politik pejabat dapat dikawali. SPRM bukan maksum. Politikus lebih-lebih lagi.

Rasuah isu besar dan merupakan malapetaka untuk negara ini. Masyarakat perlu mengerti rasuah mempunyai dua bentuk. Menurut Mohd Zaini Abdul Samad dalam “Memerangi Jenayah Rasuah Komitmen Bersama” terbitan Badan Pencegah Rasuah Perak, bentuk rasuah tersebut adalah:

Pertama, rasuah berlaku apabila penerima disyaratkan untuk menghukum dengan tidak adil, atau menjalankan hukuman dengan tidak saksama. Ini tentu sukar dibuktikan. Pun dakwaan dan kisah hitam bekas majistret di Kelantan, Firdaus Ramlan, boleh menjadi pedoman dan ingatan untuk kita semua, bahawa sistem perundangan kita juga harus dilindungi dari gejala ini.

Kedua, bentuk rasuah yang tidak kita sedari. Iaitu apabila memberikan imbuhan kepada individu atau kumpulan tertentu untuk mencapai satu-satu matlamat. Jika kita menekuni bentuk kedua ini, kita akan mendapati pendekatan “scheme of things”, juga, perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) satu bentuk rasuah. Rasuah adalah rasuah. Sebaik ada imbuhan dan tukaran tertentu maka terdapat nilai rasuah.

Dalam hal ini kita dapat memutuskan sebahagian besar ahli politik sedang bergelumang dengan rasuah, sama ada sedar atau tidak. Melainkan mereka yang menolak “scheme of things”, dan MoU kepercayaan dan perbekalan (dengan tukaran tertentu).

Harus diingatkan terdapat banyak faktor rasuah, salah satunya apabila kita memiliki kerajaan yang lemah, sistem yang lompong, dan undang-undang rasuah yang lemah. Menurut Syed Hussein Alatas dalam tulisan-tulisannya mengenai rasuah, dapat dirumuskan ia berpunca dari kelemahan kepimpinan, kelemahan nilai agama dan etika, penjajahan, kurang pengetahuan, kemiskinan, kelemahan undang-undang, pengaruh persekitaran, struktur kerajaan, dan perubahan radikal.

Masalah dengan jenayah rasuah yang menyebabkan kita sukar menyabitkan ia sebagai rasuah, ialah kerana terdapatnya faktor niat dan keinginan. Tanpa niat untuk melakukan, rasuah tidak dapat menjadi penjenayah. Sultan Azlan Shah ketika menjadi hakim pernah mengatakan:

“Corrupt is a question of intention. If the circumstances show that what a person has done or omitted to do was moved by evil intention or a guilty mind, then he is liable…”

Di sinilah terdapatnya ruang untuk dimanipulasi oleh penjenayah rasuah sehingga membolehkan mereka terlepas di mahkamah. Hal ini kadang-kala kurang difahami oleh masyarakat umum sehingga menyebabkan SPRM sering dipersalahkan setiap kali ada orang kenamaan terlepas dari pertuduhan atau hukuman.
Ini juga berlaku kerana kuasa pendakwaan tiada pada SPRM dan terpusat di pejabat Peguam Negara. Untuk sesetengah politikus mereka boleh memainkan naratif konon mereka dianiaya oleh komplot politik.

Dalam negara dan masyarakat yang tepu feudalisme pula, hubungan darah atau bantuan orang atasan juga boleh meloloskan sesetengah pesalah yang akan terus membuatkan masyarakat memandang usaha badan pencegah rasuah sebagai sia-sia.

Apa yang menyedihkan ialah gejala rasuah ini kini boleh disahkan dan dihalalkan oleh tanggapan atau pandangan lunak sesetengah ulama, di mana gambaran yang diberikan adalah rasuah hanyalah satu jenayah yang sekadar boleh ditakzirkan. Padahal rasuah adalah bahagian dari sangak, samun, kecurian, dan perompakan harta awam yang jahat.

Saya berpendapat tidak wajar SPRM dimomokkan, ia malah perlu diberdayakan. Menyerang peribadi tertentu dalam SPRM kerana nila setitik hanya memenuhi nikmat dahaga dan kepuasan nafsu agenda sesetengah kluster politikus yang ada kes. Agenda itu untuk memaparkan SPRM tidak bebas dan hanya menjadi alat. Lama-kelamaan usaha untuk membersihkan negara dari rasuah akan terbengkalai oleh kekarutan politikus baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Tidak ramai yang nampak kerja baik SPRM. Badan ini misalnya boleh diharap berbanding yang lain untuk menyemak hal-hal yang tidak lunas. Dalam kes 1MDB, SPRM membongkar macam-macam tetapi dikatakan dengan tangkas licik dipatahkan oleh pemimpin tertentu. Kita tahu pencak silat SPRM dalam kes tersebut sehinggalah akhirnya rakyat sendiri yang memilih untuk membuat perubahan pada 2018.

Sayang, perubahan dan reformasi pilihan rakyat pada PRU14 itu disontot oleh kumpulan politikus khianat.

Hari ini berbagai-bagai pendedahan di Parlimen menuntut SPRM berfungsi dengan berkesan. Misalnya SPRM mulai menubuhkan kumpulan khas menyiasat sistem dalam talian uCustoms. Dalam perkembangan lain, SPRM telah pun menyerahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk melakukan pertuduhan dalam kes kehilangan wang USD6.94 juta. Harus ada kes-kes lain yang ikut disiasat, baik negeri bawah parti kerajaan mahupun bawah parti lebai, atau parti pembangkang.

Cukuplah memomokkan SPRM. Mereka perlu ditolongi, bukan terus disepit - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.