Anda tentunya sudah dengar atau baca berita Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.
Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan setelah Ahmad bersetuju dikompaun RM1.1 juta. Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Pontian, membayar kompaun RM1.1 juta itu.
Kata peguam bela Ahmad pula, penyelesaian itu “bukan pengakuan bersalah” dan proses penyelesaian “dibuat menurut undang-undang dan melalui proses telus dan teratur”.Bukan itu sahaja, kata mereka. Ini cukup menarik. Firma Tetuan Sharul Hamidi dan Haziq turut memberitahu Ahmad tidak hilang kelayakan untuk bertanding pilihan raya walaupun membayar kompaun berkenaan.
Menurut mereka, jaminan itu diberi oleh Suruhanraya Pilihan Raya semasa rundingan penyelesaian kes dengan Jabatan Peguam Negara sejak awal tahun ini.
Jika kenyataan itu dijadikan sandaran, Ahmad layak bertanding pada pilihan raya akan datang. Suka atau tidak, setuju atau tidak, Ahmad sudah dikira “dibersihkan” dengan keputusan mahkamah yang “melepas dan membebaskan” beliau.
Lain pula ceritanya dengan bos (atau bos lama?) Ahmad – bekas perdana menteri juga bekas presiden Umno, Najib Razak.
Najib kita tahu menghadapi pelbagai kes di mahkamah. Malah tahun lalu sudah sangkut satu kes apabila didapati bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah, serta pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Najib mengemukakan rayuan. Sementara tunggu keputusan, beliau bebas bergerak dan bertindak sebagai Ahli Parlimen Pekan.
Meskipun keputusan rayuan belum diketahui (dan kes-kes lain belum selesai), Najib dilapor mahu melakukan “political comeback”. Dalam satu wawancara dengan agensi berita antarabangsa Reuters baru-baru ini, Najib tidak menolak kemungkinan bertanding pada PRU akan datang.
Wawancara dengan Reuters itu disiar 18 Sept lalu dan sehingga artikel ini ditulis tidak ada komen apatah lagi penafian daripada Najib mahu pun tim beliau. Bermakna laporan Reuters itu tepat dan Najib berpuas hati dengannya.
Lantas kita tertanya bagaimana mungkin Najib boleh bertanding PRU “within the next two years”, bak katanya?
Artikel 48(1) Perlembagaan menyatakan seseorang hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen atau hilang kelayakan untuk bertanding pilihan raya jika dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000.
Menurut bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, “kebanyakan peguam akan beritahu anda Najib akan hanya boleh bertanding jika rayuannya berjaya atau beliau mendapat pengampunan diraja”.
Atau, kata beliau, ada kemungkinan lain yang akan membolehkan Najib bertanding. Seksyen 311 Kanun Tata Jenayah tidak mengizinkan penangguhan pelaksanaan hukuman manakala rayuan juga tidak boleh dianggap penangguhan hukuman, tetapi “mahkamah atau hakim boleh menangguh apa-apa keputusan, perintah, kesalahan, atau hukuman tertakluk rayuan ke atas terma yang ditentukan oleh mahkamah berkenaan”.
Najib tidak menjelaskan mengapa beliau percaya boleh bertanding walaupun sudah dijatuhi hukuman, selain berkata semua “bergantung ke atas interpretasi undang-undang”. Beliau tidak memberitahu sama ada sudah dapat penangguhan mengikut Kanun Tata Jenayah, kata Zaid di Facebook.
Apa pun, kata Zaid, misteri menyelubungi “pengumuman” Najib bahawa pintu untuk bertanding PRU15 belum tertutup.
Selain itu, sumber-sumber Umno juga dilapor berkata sejak kebelakangan ini Najib mengadakan banyak perjumpaan dengan ketua-ketua Umno bahagian.
Malah antara yang hadir di perjumpaan itu dipetik berkata, “Najib memang ada niat mahu kembali sebagai presiden Umno”.
Pada perjumpaan itu, Najib dikatakan mengukur sejauh mana penerimaan ketua-ketua bahagian terhadapnya. Penulis politik Joceline Tan berkata ketua Umno bahagian kerap bercakap mengenai “gentlemen’s agreement” antara Najib dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang mana “Najib akan jaga Umno, Ismail akan jaga negara”. Maksudnya seperti sekarang – presiden Umno bukan Perdana Menteri .
Saya tidak bercadang mengulas itu semua. Yang pasti kemungkinan Najib menerajui Umno dan bertanding PRU15 (tak semestinya mengikut urutan itu) kini menjadi perbualan hangat dan mencetuskan pelbagai spekulasi.
Tentunya ia melibatkan isu-isu perundangan dan susur galur politik kepartian dan nasional. Ia tentu juga membangkitkan polemik mengenai anggota ‘kluster mahkamah’ lain. Bolehkah mereka juga bertanding?
Jika benar Najib mahu kembali sebagai presiden Umno, ke mana nak diletakkan Ahmad Zahid Hamidi? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.