Tuesday, November 30, 2021

Orang lain hutang, orang lain jadi mangsa

 

Turut ditemui nota tertulis ‘pinjam wang, bayar balik’ yang ditinggalkan individu berkenaan.

PETALING JAYA: Empat kenderaan penduduk di Taman Tampoi Indah 2, Tampoi, Skudai, Johor disimbah cat oleh individu tidak dikenali awal pagi tadi.

Selain disimbah, terdapat juga nota tertulis ‘owe money, pay money’ (pinjam wang, bayar balik) yang ditinggalkan pada kenderaan penduduk.

Menurut penduduk yang juga mangsa, Nazaruddin Bijan, 48, kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz miliknya turut dijadikan sasaran pihak tidak bertanggungjawab itu.

Katanya, dia sekeluarga tinggal di bangunan rumah kedai berhampiran dan menyedari kejadian itu pada jam 3.15 pagi selepas terjaga apabila anak menangis.

Ads by Kiosked

“Saya kemudiannya meninjau keadaan di luar rumah sebelum mendapati Perodua Aruz disimbah cat kuning. Selain itu, tiga kenderaan jiran, termasuk sebuah pacuan empat roda, turut disimbah cat,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Nazaruddin berkata, dia turut menemui nota ditinggalkan yang mencatat nama berserta alamat individu tertentu yang tidak dikenalinya.

“Turut tercatat pada nota itu ialah nombor telefon yang boleh dihubungi bagi membincangkan soal pembayaran. Saya berharap polis dapat menahan individu yang terbabit dalam kes simbah cat ini,” katanya.

Menurutnya, dia kerugian RM800 hingga RM1,000 kerana perlu membersihkan kesan simbahan cat.

Nazaruddin berkata, kejadian itu kali pertama berlaku sejak dia tinggal di kawasan perumahan berkenaan enam tahun lalu.

“Memang ramai penduduk meletakkan kenderaan dan motosikal di ruang parkir berkenaan pada waktu malam hingga pagi. Saya harap kekerapan rondaan oleh polis di kawasan ini dapat ditingkatkan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Tampoi.

Ads by Kiosked

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Rupiah Abd Wahid mengesahkan menerima laporan polis berkaitan kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.